MARAN - Akibat gagal kawal kemarahan, seorang lelaki bertindak di luar kewarasan apabila membakar kereta Proton Perdana milik kawan sekampungnya dalam satu kejadian di Felda Sungai Nerek dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu dipercayai berpunca daripada salah faham sehingga mencetuskan pertikaman lidah dan tuduh-menuduh melibatkan hal peribadi di hadapan rumah pemilik kenderaan terbabit.

Enggan memanjangkan pertengkaran, pemilik kenderaan tersebut beralih masuk ke dalam rumah tanpa mengetahui tindakannya itu telah membuatkan suspek tidak puas hati dan berang sehingga sanggup membakar keretanya menggunakan pemetik api.

Selepas melakukan perbuatan salah tersebut, suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mat Rizal Mat Radzi berkata, tindakan suspek berusia lingkungan 20-an itu telah mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian dalam kereta milik mangsa.

"Mujur jiran berdekatan bertindak segera bantu memadamkan kebakaran tersebut sebelum merebak dan tiada sebarang kecederaan jiwa dilaporkan berlaku," katanya sekali gus memberitahu suspek turut dipercayai mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek setelah melarikan diri sebaik membakar kereta mangsa juga sedang giat dilakukan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KAMPAR - Polis Kampar menahan seorang penagih dadah berumur 42 tahun kerana melakukan perbuatan khianat di Balai Polis Gopeng dekat sini, semalam.
  • TANAH MERAH - Penduduk beberapa kampung sekitar Estet Ladang Kerilla, dekat sini, yang menternak lembu dalam kawasan ladang itu sekali lagi dikejutkan dengan kejadian haiwan ternakan mereka mati dipercayai akibat diracun.
  • TUMPAT - Kebakaran rumah dan enam kenderaan di kediaman seorang peniaga di kampung Semat Jal di sini disyaki angkara khianat.
  • PASIR PUTEH - Negeri Kelantan yang dibina dengan asas Islam yang kukuh sejak Pas mengambil alih pentadbiran mesti dipertahankan dan sebarang penentangan terhadapnya suatu pengkhianatan.
  • SEREMBAN - Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (n9futbol.com) kesal sekiranya benar dua kereta yang dipecah ketika perlawanan bola sepak Liga Perdana antara Negeri Sembilan dan Melaka United di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam kelmarin, dilakukan penyokong tuan rumah.