KUALA ROMPIN - Bersatu Bahagian Rompin bakal menubuhkan lapan cawangan bagi memperkukuhkan parti itu di daerah ini.

Ketua Bersatu Bahagian Rompin, Osman A Bakar, berkata, penubuhan itu akan menjadikannya 12 cawangan.

Osman berkata, pihaknya menyasarkan tiga Dun di empat cawangan bagi melaksanakan gerak kerja parti.

“Apabila segala syarat penubuhan sudah lengkap kita akan adakan majlis penubuhan yang disertai  penyerahan borang keahlian ahli,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.

Bersatu bertanding di kerusi Dun Muadzam Shah dan Bukit Ibam atas tiket Pakatan Harapan (Harapan) pada PRU14 namun tewas kepada BN di kedua-dua kerusi.

Dalam pada itu, beliau turut menggariskan dua aspek penting terhadap pemerkasaan parti.

“Pertama, peringkat kepimpinan dan pengikut masing-masing perlu dididik iaitu amalan yang patut dibuat. Sebagai contoh pengikut yang bijaksana iaitu ahli yang boleh dukung, beri pandangan dan nasihat kepada kepimpinan selain rasa tanggungjawab kepada parti.

“Hala tuju parti mestilah dinamik dengan mengambil kira keperluan semasa, lebih komprehensif dan menyeluruh kepada rakyat di Malaysia berdasarkan perlembagaan,” katanya.