MARAN - Seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinannya Julai tahun ini buntu dan sedih kerana gagal mencari ayah kandungnya walaupun pelbagai usaha dilakukan sejak beberapa bulan lalu.

Siti Nurhidayah Sukemi, 23, berkata, berdasarkan makluman ibunya, Zunaidah Che Yop, 45, bapanya Sukemi Ahmad, 55 berasal dari Pulau Bengkalis, Indonesia.

“Mak dan abah berkahwin pada 1992 dan menetap di Felda Jengka 21 sehingga bercerai tahun 2003. Sejak itu, abah dipercayai menetap di Mentakab sebelum berpindah ke Johor. Setakat yang saya tahu alamat terakhir abah ialah di Batu Tiga Suku, Kampung Tangkak, Johor.

“Saya benar-benar berharap, kalau abah baca berita ni hubungi saya sekeluarga. Kami langsung tak tahu khabar berita dari abah. Kalau boleh biarlah abah mewalikan pernikahan saya dan jika betul-betul tak dapat dihubungi barulah saya mohon wali hakim,” katanya ditemui di rumah ibunya di Felda Jengka 21, di sini semalam.

Siti Nurhidayah berharap perkara ini dapat diselesaikan segera kerana Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang mensyaratkan supaya berita mengenai pencarian wali ini disiarkan dalam akhbar sebelum melantik wali hakim.

“Walaupun saya hanya kenal ayah sehingga berusia lapan tahun, tapi lebih manis lagi jika ayah kandung dapat mewalikan sendiri pernikahan saya pada 1 Julai ini di Felda Jengka 21,” katanya.

Sementara itu, Zunaidah berkata, dia pernah membuat tuntutan nafkah empat anaknya hasil perkahwinan bersama Sukemi, enam tahun lalu menerusi mahkamah.

Namun ketika itu pun bekas suami gagal dijejaki dan tidak pernah hadir ke mahkamah.

Dia berharap, perkahwinan anaknya bersama pasangan Mohd Badrul Hisham Abu, 29, dapat diteruskan dengan kehadiran bekas suaminya itu

“Kami tak mahu majlis yang dirancang tertangguh jika gagal mengesan bapa dia untuk menjadi wali,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.