KUANTAN - Usaha mendekatkan diri dengan masyarakat Orang Asli dilakukan 55 penuntut perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Karnataka Lingayat Education International Medical Programme (USM-KLE IMP) India yang menyertai Projek Darul Makmur di Kampung Alur Beruang, di sini.

Peserta Muhammad Aiman Naim Zakaria, 20, berkata program sempena cuti semester itu diadakan bertujuan mendekatkan peserta dengan masyarakat Orang Asli sebagai pendedahan sebelum bertugas sebagai doktor selepas tamat pengajian.

Menurutnya, pelbagai aktiviti diadakan bersama masyarakat setempat yang teruja menerima kehadiran peserta.

“Selain menceriakan Taman Bimbingan Kanak-Kanak Kampung Alur Beruang dengan lukisan dinding dan kebun dapur, turut diadakan program membaca dan mengeja bersama kanak-kanak di kampung berkenaan.

“Sumbangan keperluan harian turut diberikan kepada penduduk yang menyambut baik penganjuran program itu apabila bersama menyertai aktiviti seperti sukaneka, pemeriksaan kesihatan, pertandingan kebudayaan dan gotong-royong,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Projek Darul Makmur di Kampung Alur Beruang.

Majlis dirasmikan, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang Johari Alwi.

Program itu dianjurkan Persatuan Pacemakers by Oddityx terdiri daripada penuntut (USM-KLE IMP) India dengan kerjasama Jakoa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Taman Botani Negara, Shah Alam.

Muhammad Aiman berkata, kerjasama yang diberikan Jakoa yang memilih Kampung Alur Beruang sebagai lokasi program juga memudahkan lagi pihak penganjur yang kali pertama menganjurkan program seumpama itu.

Bagi Nur Aina Nadhira Nor Zaini, 20, yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, selain terbabit dengan aktiviti sukaneka dia juga turut mengagihkan keperluan harian seperti beras, minyak masak, biskut dan gula kepada penduduk setempat.

“Banyak pengalaman dapat diperolehi kumpulkan sepanjang program yang dapat menjadi pengajaran terutama apabila bertugas sebagai doktor selepas tamat pengajian pada 2021 nanti.

“Saya seronok dapat bertemu dan bergaul dengan masyarakat Orang Asli yang menerima dengan baik kehadiran peserta yang rata-rata kali pertama datang ke kampung Orang Asli,” katanya.