RAUB - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki maut manakala isteri dan seorang anaknya cedera parah selepas kenderaan yang dinaiki oleh mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 329 Jalan Kota Bharu-Kuala Lumpur berdekatan Kampung Sega di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian yang berlaku pada jam 5.45 pagi itu menyebabkan Shaibol Whashilah Mamat, 53, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan.

"Ketika sampai di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah  lori yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan mereka.

"Kejadian tersebut menyebabkan isteri Shaibol Whahilah, Norizan Ali, 48 dan anaknya, Najmulhuda Shaibol Whashilah,19 cedera dan dirawat di Hospital Raub," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Wan Mohd Zahari berkata seorang lagi anak pasangan itu, Najmatul Husna, 6 dan pemandu lori tidak cedera.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada Jabatan Forensik,  Hospital Raub untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaannya sehingga terbabas masuk ke laluan bertentangan.

"Polis akan mengeluarkan laporan tangkap dan kita akan membuat ujian air kencing ke atas pemandu lori.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan kes ini masih diteruskan,”katanya.