TEMERLOH – Ibu bapa yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) kini mempunyai pilihan dalam usaha membantu anak-anak mereka yang dikategorikan sebagai OKU mempelajari dan mendalami al-Quran menerusi program anjuran Yayasan Faqeh.

Kanak-kanak OKU pekak dan autisme terbukti mampu membaca al-Quran dengan baik menerusi program tersebut menerusi beberapa kaedah yang diterapkan di Yayasan Faqeh.

Pengasas Yayasan Faqeh iaitu Yayasan Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa, Nor Aziah Mohd Daud berkata, Yayasan Faqeh ditubuhkan bagi membantu komuniti anak-anak OKU untuk mempelajari al-Quran dan Ibadah Fardhu Ain.

Menurutnya, terdapat kaedah bacaan tertentu diterapkan antaranya dengan menggunakan bahasa isyarat bagi kanak-kanak pekak untuk membaca al-Quran dan bacaan menggunakan kaedah ‘non verbal’ bagi kanak-kanak autisme.

“Ini terbukti apabila anak-anak syurga ini mampu baca al-Quran menerusi cara mereka dengan lancar,” katanya ditemui selepas program Perkongsian Pintar, Perjanjian Persefahaman Antara Maahad Tahfiz al-Faqeh dan Masjid Kampung Raja, Songsang di sini semalam.

Menerusi MoU itu, kira-kira 233 pelajar Maahad Tahfiz al-Faqeh di kampung itu termasuk 20 pelajar OKU boleh menggunakan pelbagai kemudahan disediakan Masjid Kampung Raja, Songsang.

Masjid Kampung Raja Songsang diwakili Pengerusinya, Nor Aripin Ibrahim manakala Nor Aziah mewakili Maahad Tahfiz al-Faqeh.

Nor Aziah berkata, Maahad Tahfiz al-Faqeh yang ditubuhkan 12 tahun dahulu sehingga kini sudah mempunyai 233 pelajar dan yang paling senior adalah pelajar tingkata enam bawah.

Beliau berkata, ia menerima pelajar pr sekolah, sekolah rendah dan menengah secara sepenuh masa manakala pelajar OKU seramai 20 orang secara sambilan iaitu tiga kali seminggu.

Pada majlis itu, Fathurrahman Shah Huddin 12,  cacat pendengaran memperlihatkan bacaan al-Quran menerusi bahasa isyarat sambil diterjemahkan oleh Nor Aziah.

Manakala, Mohd Azimi Sarudin 12, yang dikategorikan menghidap autisme membaca surah al-Ikhlas menerusi gaya pemahamannya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.