JENGKA - Pasangan suami isteri selamat diijabkabulkan di Felda Jengka 21, di sini, selepas ditemukan anak-anak masing-masing kurang sebulan lalu.

Fauziana Zakaria, 52, yang merupakan balu peneroka sejak tiga tahun lalu berkata, beliau diperkenalkan dengan Isa Hanipah, 51, yang berasal dari Kampung Jerlun Kedah menerusi anak ketiganya, Mohd Fadzil Sazali, 27.

"Isteri Abang De (Mohd Fadzil) berasal dari kampung yang sama dengan suami. Mereka saling mengenali kerana ada hubungan kekeluargaan. Daripada​ situlah anak-anak berpakat untuk menjodohkan kami.

"Dalam tempoh kurang sebulan ini kami ada berjumpa sekali di Kuantan, rumah anak sulung, Mohd Faizal dan selepas itu kami bersetuju untuk disatukan. Bagi saya perkahwinan kali ini lebih kepada untuk menggembirakan anak-anak. Sudah tentu saya gembira kerana saya akan ada seseorang yang akan menjaga saya. 

"Lagipun anak-anak sudah ada keluarga sendiri. Mereka bimbang keselamatan saya tinggal seorang. Susah senang, sakit dan sebagainya, saya kini ada tempat mengadu," katanya yang merupakan Ahli Jawatankuasa Gerakan Pertubuhan Wanita (GPW) dan Ketua Blok 16, rancangan tersebut.

Sementara itu, Isa seorang duda anak empat, merancang untuk membawa isterinya tinggal bersama di Kedah, bagaimana pun perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan bersama kelak.

"Saya gembira dengan perkahwinan ini kerana ia menggembirakan banyak pihak. Lebih-lebih lagi, anak-anak. Apa yang penting mereka setuju," katanya.

Mereka merancang untuk berbulan madu di Chiang Mai Thailand bersama anak-anak kedua-dua belah pihak April nanti.

Mohd Faizal berasa lega kerana ibu tidak membantah jodoh pilihan mereka serta berharap perkahwinan ibunya kekal ke akhir hayat sepertimana bersama arwah abah, Sazali Mat Saman, 60.

"Sebagai anak saya lega dan gembira akhirnya mak ada teman hidup. Mak seorang yang aktif dengan kerjaya dia. Kalau ada teman tak adalah kami bimbang keselamatan mak. Malam ini kami adakan kenduri tahlil untuk arwah abah," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JERANTUT - Kenangan diraikan dengan penuh gilang-gemilang dalam majlis Walimatul Urus Perdana Parlimen Jerantut di Dataran Majlis Daerah jeratut, di sini semalam pasti tidak dapat dilupakan oleh 10 pasangan pengantin terlibat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.