• banjir
1 /

KUANTAN - Pahang diramalkan menerima hujan setiap hari dalam tempoh seminggu selepas dua hari melalui hujan sekali gus mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di Rompin dan Kuantan.

Ramalan cuaca melalui laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), mendapati Pahang menerima hujan sekejap-sekejap dan kadangkala sederhana dari pagi sampai malam bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Bagaimanapun, menurut jangkaan, Khamis hujan di satu dua tempat pada waktu pagi dan malam.

Laman sesawang itu turut memaklumkan kepada nelayan mengenai ribut petir di beberapa kawasan dijangka berlaku setiap hari dalam tempoh itu dengan kelajuan angin di antara 60 hingga 70 kilometer sejam dan ombak setinggi 5.5 hingga 7.5 meter.

Menurut laman sesawang itu juga, stesen Kuantan mencatatkan taburan hujan paling tinggi iaitu 199.0 milimeter manakala stesen Muadzam Shah dan stesen Temerloh masing-masing mencatatkan sebanyak 145.0 dan 8.0 taburan hujan.

Suhu maksimum sepanjang tempoh seminggu bermula Ahad lalu ialah 30 darjah Celsius namun dijangka berubah kepada 31 darjah Celsius bermula Khamis hingga Sabtu ini.

Bagaimanapun, hujan dalam tempoh tiga hari mengakibatkan dua daerah dilanda banjir sehingga memaksa mereka berpindah.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di Pahang meningkat kepada 1,310 orang, berbanding 871 mangsa pada sebelah pagi semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata Kuantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 806 orang membabitkan 216 keluarga.

Ini diikuti Rompin dengan 480 orang daripada 114 keluarga dan di Pekan 24 orang melibatkan sembilan keluarga, katanya ketika dihubungi.

“Sebanyak 10 pusat pemindahan dibuka di Kuantan iaitu SMK Paya Besar menempatkan seramai 212 mangsa, Dewan Orang Ramai (DOR) Indera Mahkota Jaya 27 orang, DOR Chenderawasih (68 orang), DOR Seri Damai (114), SMK Gudang Rasau (20), SK Fakih Abu

Samad (193), Pusat Bina Insan Jaya Gading (121), SMK Bukit Rangin (21), DRO PAKR Panching (4) dan Balai raya Kampung Pahang (26).

“Manakala di Rompin 480 mangsa banjir di tempatkan di SK Janglau seramai 226 orang, Masjid Perepat (42), DOR Teluk Gading (203) dan Balai raya Simpang Sepang (9) bagi daerah Pekan kekal masih menempatkan 24 orang di Balai raya Rumbia,” katanya.

Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.