KUANTAN - “ALLAH pilih saya dan sayang saya...sebab itu saya berada di sini, kalau tak mungkin sampai sekarang saya masih belum insaf,” demikian luahan seorang penghuni Penjara Penor ketika ditemui pada Majlis Jalinan Kasih 1Malaysia sempena Hari Raya, semalam.

Pak Long (bukan nama sebenar), 60, berkata, pada mulanya dia dikenakan hukuman gantung namun selepas membuat rayuan pada 2012, dia memperoleh pengampunan dan kini sedang menjalani hukuman 15 tahun di sebalik tirai besi.

Menurutnya, dia yang terjebak dengan  ganja sejak usia remaja sehingga sebati dalam dirinya.

Walaupun mempunyai kerjaya yang bagus dengan gaji RM8,000 sebulan namun dia tetap bertuhankan dadah.

“Kehidupan saya ketika terlibat dengan dadah penuh dengan dosa, saya  kaki minum, suka berseronok malah kerja di laut membolehkan saya melancong ke luar negara.

“Bagaimanapun, situasi itu berubah apabila saya ditahan polis dan dikenakan hukuman. Ketika hakim jatuhkan hukuman, saya tak rasa apa-apa. Ketika itu saya masih tenang.

“Sampailah Mahkamah Rayuan putuskan berikan pengampunan dan saya terlepas hukuman gantung. Masa tu tiba-tiba hati saya terdetik yang ALLAH sayangkan saya. Dia memang sayangkan hamba-hamba-Nya,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Bermula dari detik itu dia mula mendalami Islam dengan belajar solat dan mengaji.

Dia merasakan cukup bertuah kerana mendapat bimbingan daripada pegawai penjara yang tidak jemu-jemu membantunya.

Pak Long yang berasal dari Kelantan berkata, dia benar-benar insaf dan mengambil iktibar daripada hukuman yang dijalaninya kini.

“Banyak peluang yang saya terpaksa lepaskan sepanjang berada di penjara. Saya tak dapat lihat jenazah anak sulung buat kali terakhir yang meninggal sebab ketumbuhan tahun lepas, saya tak dapat hadir majlis perkahwinan anak kedua saya.

“Saya teramat sedih bila kenangkan semua itu. Kalaulah saya boleh putar balik masa...saya mahu ulang semula saat-saat manis dengan keluarga yang dah saya abaikan.

Tapi Alhamdulillah...syukur sangat sebab isteri dan anak-anak tak pernah buang saya malah sentiasa datang melawat,” katanya.

Dia juga mengakui, sebelum ini dia tidak mempunyai kekuatan untuk bersemuka dengan keluarga sejak menjalani hukuman.

“Sebelum ini, walau ditawarkan untuk berjumpa, saya tolak sebab tak bersedia untuk berdepan dengan mereka.

“Saya rasa bersalah dan berdosa. Tapi tahun ini, ALLAH buka hati saya dan saya gembira dapat tatap muka isteri...dia tak pernah jemu beri sokongan  sepanjang jalani hukuman,” katanya.

Katanya, dia kini tidak sabar untuk menghabiskan hukuman dan mahu memulakan hidup baru bersama keluarga.

“Saya tak kisah dengan pandangan masyarakat terhadap saya selepas ini kerana yang lebih penting ALLAH beri saya peluang untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Bagi, Shukri Mohd (bukan nama sebenar), 31, pula, dia menjalani hukuman sembilan bulan kerana kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, sambutan raya di dalam tirai besi amat memilukan hatinya apatah lagi apabila terkenangkan kedua-dua ibu bapa, isteri dan tiga anak.

“Saya sedih sebab terpaksa berjauhan dengan keluarga...lagi-lagi bila mengenangkan  anak ketiga saya, masa tu dia baru tiga bulan.  

“Hukuman ini cukup menginsafkan saya dan saya tak mahu ulanginya lagi,” katanya.

Ibunya yang hadir tidak dapat menahan sebak apabila dapat bersua muka dengan anak kedua daripada enam beradik itu.

Katanya, Shukri merupakan seorang anak yang baik namun dia tersalah memilih kawan menyebabkan dia terjebak dengan najis dadah.

“Makcik bersyukur dapat jumpa dengan dia pada program ini .

“Hanya tinggal beberapa bulan saja lagi untuk dia habiskan hukuman. Makcik harap semuanya berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penjara Penor, Datuk Abu Hassan Husain berkata, seramai 15 banduan dipilih pada program kali ini.

Beliau berkata, mereka dipilih berdasarkan kelakuan baik sepanjang tempoh menjalani hukuman.

“Program ini sebagai  peluang untuk penghuni berjumpa secara terus dengan keluarga,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Padah salah guna kad kredit orang lain, seorang pembekal makanan dijatuhi hukuman penjara 48 bulan, tiga sebatan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, hari ini.
  • KOTA BHARU - Bapa saudara dihukum penjara 36 tahun dan 30 sebatan; rakan lelaki itu pula dihukum penjara 30 tahun dan sembilan sebatan, manakala bapa mangsa dihukum penjara setahun setengah oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.