MENTAKAB - Tidak semua peniaga yang mempunyai daftar niaga mempunyai pendapatan melebihi RM4,000 sebulan kerana pendaftaran perniagaan bukan hanya kepada mereka yang mempunyai perniagaan besar tetapi juga termasuk peniaga kecil.

Ketua Pembangkang Dun Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, permohonan BR1M yang gagal atas alasan pemohon mempunyai daftar niaga adalah satu perkara yang subjektif.

Menurutnya, syarikat Enterprise contohnya terdiri daripada kalangan peniaga kecil yang mendaftarkan perniagaan mereka untuk memenuhi syarat ditetapkan seperti permohonan lesen perniagaan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga pinjaman perniagaan.

“Mereka ini bukan semuanya mempunyai pendapatan lebih RM4,000 ada juga yang mendapat keuntungan kecil antara RM1,000 ke RM2,000 sebulan dan layak menerima BR1M,” katanya mengulas isu BR1M di pejabatnya di sini, semalam.

Zulpuri berkata, sekiranya benar alasan mempunyai daftar niaga di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dijadikan pemilihan kriteria permohonan maka ia sepatutnya perlu diperbaiki.

Beliau berkata, itu bermakna kerajaan belum bersedia dan perlu membuat kajian pelaksanaan pembayaran BR1M kepada isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah.

“Syarikat yang ditubuhkan peniaga kecil hanya berfungsi untuk mereka beroperasi dan memenuhi syarat ditetapkan PBT atau institusi kewangan yang bersangkutan dengan mereka.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu membuat semakan dengan lebih terperinci ke atas setiap permohonan rakyat terutama sekali mereka yang gagal kerana mempunyai daftar niaga SSM,” katanya.

Zulpuri berkata, pemilik syarikat besar seperti Sdn Bhd atau Berhad sudah tentu tidak layak menerima BR1M tetapi syarikat Enterprise yang dimiliki ramai peniaga kecil sepatutnya memerlukan penelitian yang lebih.

Menurutnya, kesan daripada apa yang berlaku sekarang dkhuatiri rakyat mula tidak akan mendaftar dengan SSM untuk aktiviti perniagaan mereka seterusnya merugikan kerajaan yang tidak dapat memungut hasil daripada setiap bayaran pendaftaran.

“Akan wujud lebih ramai peniaga haram yang tidak berdaftar dan mempunyai lesen perniagaan daripada PBT dan juga SSM sekali gus mengundang lebih banyak masalah kemudian hari,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HULU BESUT - Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gong Duek di sini menafikan kes seorang lelaki mengamuk dengan menetak keretanya disebabkan tidak dapat BRIM atau masalah kewangan lain.
  • MARAN - Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) disaran membeli insurans sebagai perlindungan diri serta jaminan jika ditimpa kemalangan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.