JERANTUT - Walaupun pernah dikhabarkan doktor anaknya telah meninggal dunia, namun siapa sangka nyawa bayi yang ketika itu baru berusia sebulan masih panjang.

Kini sudah hampir tiga tahun peristiwa itu berlaku dan anak bertuah itu kini terus menjalani kehidupan normal dengan aktif.

Meskipun bersyukur anaknya selamat, namun saat-saat getir itu masih segar dalam ingatan, Nur Amalina Mohd Hisamudin, 27, yang hampir kehilangan salah seorang dari anak kembarnya, Muhammad Nazmi Raqib Rosdee, 3.

Mengimbau kenangan September tiga tahun lalu, Nur Amalina yang menetap di Kampung Mat Kilau, di sini, memberitahu, Nazmi dan kembarnya, Muhammad Naufal Raqib Rosdee, 3, dilahirkan tidak cukup bulan.

Anak sulungnya, Muhammad Khalis Khairin Rosdee, 6, yang ketika itu berusia tiga tahun tiba-tiba menjerit memanggilnya memberitahu Nazmi mengeluarkan hingus kerana selesema.

Benjolan pada dada Nazmi lebih ketara berbanding Naufal

“Secara kebetulan kedua-dua kembar itu memang sedang batuk dan selesema. Jadi saya suruh abang (Khalis) lapkan hidung adiknya. Tapi, tiba-tiba saya dengar emak saya pula menjerit memberitahu Nazmi mengeluarkan susu dari hidung dan mulutnya.

Masa tu saya syak anak saya tersedak susu dan badannya juga lemah. Saya segera bawanya ke Hospital Jerantut,” katanya.

Ketika sedang mendapatkan rawatan untuk Nazmi, Nur Amalina berkata, doktor ada bertanya kepadanya tentang seorang lagi kembar anaknya itu.

“Doktor tanya sama ada Naufal tidak apa-apa. Bila saya hubungi ibu saya yang menjaga Naufal, ibu beritahu Naufal tidak bangun dari tidur. Saya segera ambil Naufal bawa ke hospital dan rupanya Naufal juga tidak sedarkan diri,” katanya.

Kedua-dua mereka telah dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHas) Temerloh untuk rawatan lanjut dan sebaik diperiksa oleh doktor, Nur Amalina dimaklumkan Nazmi telah tiada.

“Saya seperti tidak percaya dengan keadaan itu dan meminta doktor memeriksanya lagi. Beberapa doktor yang datang memeriksa Nazmi memberitahu degupan jantungnya sudah tidak kedengaran.

“Saya tidak mahu berputus asa lalu meminta doktor menyelamatkan Nazmi. Alhamdulillah, Nazmi masih boleh diselamatkan setelah doktor melakukan intu basi dengan memasukkan tiub ke dalam paru-parunya.

“Walaupun dia dalam keadaan koma ketika itu, saya bersyukur dia masih selamat. Bagaimanapun, selama hampir sebulan dia di dalam unit rawatan rapi (ICU), selama itu jugalah saya berasa berdebar kerana takut kehilangannya,” katanya.

Pada masa itu Nur Amalina berkata, kedua-dua anak kembarnya itu berada dalam keadaan koma di ICU, namun Naufal berada dalam keadaan stabil dan dipindahkan ke wad biasa selepas dua minggu berada di ICU sebelum dibenarkan pulang ke rumah setelah sebulan menerima rawatan.

“Selama Nazmi berada dalam ICU, doktor selalu beritahu keadaan anak saya tu tiada sebarang perubahan. Saya juga bersedia menerima sebarang kemungkinan kalau dia tak dapat diselamatkan tambahan pula saya dah tak sanggup tengok keadaan dia masa tu.

“Tapi macam mana, tak lama lepas Naufal dibenarkan balik rumah, secara tiba-tiba ketika doktor nak berhentikan pernafasan menerusi oksigen agar Nazmi boleh belajar bernafas sendiri, keadaannya bertambah baik dan sejurus itu dipindahkan pula ke wad biasa sebelum dibenarkan balik selepas tiga bulan menerima rawatan,” katanya.

Anak kembar disahkan hidap masalah paru-paru

Ketika menerima rawatan, kedua-dua kembar itu disahkan mengidap masalah paru-paru selain Nazmi yang dikatakan turut mempunyai masalah lidah bercantum dengan langit.

Disangka sudah boleh menarik nafas lega, tapi sekali lagi dugaan menimpa Nur Amalina dan suaminya, Rosdee Mohd Rosli, 37, apabila kedua-dua kembar mereka sekali lagi dimasukkan ke dalam wad ketika berusia lapan bulan kerana masalah pernafasan laju.

Nur Amalina berkata, sejak dari itu, mereka sering mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan kesihatan kedua-dua anak kembarnya itu yang dikatakan mudah dijangkiti penyakit.

“Kalau orang sekeliling batuk, mereka akan cepat berjangkit. Kalau si abang (Naufal) sakit, tak lama lepas tu adiknya (Nazmi) pula akan sakit. Biasanya kalau sorang masuk hospital, dua-dua akan masuk sama. Dua-dua akan sakit serentak.

“Sejak dari kejadian tu sampai sekarang, mereka masih perlukan pemantauan rapi dari doktor pakar. Kalau kesihatan mereka bermasalah, saya akan segera bawa ke hospital. Biasanya mereka akan ditahan wad berhari-hari,” katanya.\

Si kembar meneliti mesin oksigen yang digunakan untuk merawat mereka ketika di rumah

Dalam pada itu, terdapat kesan benjolan di bahagian dada kedua-dua pasangan kembar itu yang dikatakan kesan dari kekerapan penggunaan oksigen.

Namun menurut Nur Amalina, dada Nazmi kelihatan sedikit ketara berbanding Naufal justeru dia dimaklumkan oleh doktor berkemungkinan Nazmi mempunyai masalah jantung.

“Berbanding Naufal, kesihatan Nazmi lebih teruk kerana paru-paru kanan berdekatan jantungnya telah rosak. Doktor kata benjolan pada dadanya semakin membesar. Justeru Ogos nanti, Nazmi perlu dibawa jumpa pakar jantung. Saya harap tak ada apa-apa berlaku ke atas jantung Nazmi,” katanya yang berdebar menunggu hari itu nanti.

Mereka tiada simpanan kecemasan

Rosdee dalam pada itu memberitahu, sejak kedua-dua anaknya disahkan ada masalah paru-paru, dia tidak dapat bekerja tetap kerana perlu sentiasa bersedia untuk menjaga anak kembarnya itu jika dimasukkan ke dalam wad.

“Isteri saya seorang tak boleh jaga kedua-dua anak kami. Kalau saya kerja tetap saya perlu ambil cuti. Jadi buat masa ini saya terpaksa kerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu," katanya.

Menurutnya, Pendapatan harian yang diperoleh hanya cukup untuk perbelanjaan mereka sekeluarga termasuk rumah yang disewa pada kadar RM250 sebulan, justeru mereka tidak mempunyai wang simpanan untuk tujuan kecemasan.

“Kos rawatan juga perlu di bayar seperti sewa wad, ubat-ubatan ketika di hospital jika mereka ditahan wad. Jika ia berlaku, saya terpaksa pinjam adik-beradik. Syukur kerana adik-beradik dan saudara-mara sentiasa bantu dan beri sokongan. Ibu mertua saya juga turut menanggung anak saya yang sulung yang tinggal bersamanya kini,” katanya.

Bercerita tentang persiapan Aidilfitri Rosdee berkata, setakat ini mereka sekeluarga masih belum melakukan sebarang persiapan termasuk membeli pakaian baharu buat mereka sekeluarga.

Orang ramai yang ingin hulurkan sumbangan boleh hubungi Nur Amalina ditalian 103-9429080.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia (PBKIM) menjelaskan bahawa program e-Kad sementara pekerja asing tidak gagal, cuma ada beberapa perkara yang masih memerlukan penambahbaikan.
  • GOMBAK - Seramai 240 orang anak yatim dan asnaf serta anak-anak OKU daripada Puncak Alam, Klang, Hulu Langat, Gombak, Rawang, Semenyih, Cheras dan Bandar Tun Razak diraikan pada malam majlis Iftar anjuran Pikus NGO Bersekutu Malaysia di Restoran Nelayan@Titiwangsa Gombak, baru-baru ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.