KUANTAN - Seramai 50 pelajar dari empat buah sekolah di sini, berjaya menyempurnakan sesi bermalam di Muzium Sungai Lembing dekat sini, malam semalam.

Mereka ialah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau, SMK Cenderawasih, SMK Bukit Sagu dan SMK Sungai Lembing.

Penghulu Mukim Ulu Kuantan, Roslan Amat berkata, program Bermalam Di Muzium 2018 merupakan satu program berimpak tinggi dan berpotensi menarik minat komuniti terutamanya generasi muda mendekati dunia muzium.

“Ini merupakan salah satu aktiviti pendidikan yang dijalankan di kebanyakan muzium utama di seluruh dunia. Ia memperlihatkan fungsi dan peranan muzium yang lebih luas sebagai agen perubahan dan pembangunan sosial.

“Sempena dengan hari kemerdekaan, saya berharap pada pelajar dapat mempelajari sesuatu dalam program sebegini," katanya.

Menurutnya, selain itu, program tersebut turut menyahut kempen Malaysia #QuranHour yang dijalankan seluruh negara pada 30 Ogos,” katanya pada penutup program, semalam.

Kesemua peserta yang dibahagikan kepada lima kumpulan bergabung sekolah menerima sijil penyertaan dan hadiah yang ditentukan mengikut pencapaian dan aktiviti yang dijalankan secara berkumpulan. Kumpulan Excellent muncul juara keseluruhan.

Para pelajar turut didedahkan dengan cerita sejarah Sungai Lembing pada program campfire serta mengimarahkan program dengan melakukan Malaysia #QuranHour yang diadakan selama sejam, selepas Maghrib.  

Di Malaysia, penganjuran ‘Program Bermalam di Muzium’ telah dipelopori oleh Muzium Negara bermula tahun 2005 bersempena sambutan bulan kemerdekaan negara.

Muzium dijadikan salah satu medium yang membantu mengekalkan wajah budaya dan citra bangsa selain menjadi wadah terpenting dalam pembinaan negara bangsa.

Program tersebut telah mendapat sambutan di luar jangkaan menyebabkan ia kemudiannya dijadikan sebagai acara wajib  setiap tahun.