PANTAI Sungai Baging di sini dikenal pasti antara pantai yang berdepan risiko hakisan berikutan ancaman ombak besar dan tiupan angin kencang.

Biarpun keadaannya belum serius dan terkawal, penanaman pokok yang sesuai dilihat mampu mewujudkan zon penampan bagi mengekalkan kestabilan pantai berkenaan.

Menyedari kepentingan zon penampan di pantai berkenaan, sebanyak 400 pokok ru ditanam semalam melibatkan lebih 200 peserta termasuk pelajar sekolah yang mengambil bahagian pada program ‘Sayangi Pantai Kita’ di Pantai Sungai Baging.

Program anjuran Petronas itu bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat terhadap kepentingan memulihara alam sekitar bagi menjamin kehidupan yang lebih sejahtera kini dan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals MTBE Sdn Bhd, Azlimi Md Lazim berkata, Program Sayangi Pantai Kita merupakan salah satu daripada komitmen Petronas di dalam menyokong Dasar Alam Sekitar Negara sebagaimana yang digariskan Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar.

“Usaha ini juga diharap dapat membantu kerajaan negeri dalam menjadikan pantai Sungai Baging ini sebagai kawasan rekreasi berasaskan hutan," katanya.

Kata Azlimi lagi, program itu turut di sokong beberapa agensi termasuk Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).