BENTONG - Kira-kira 40 warga emas di sekitar Dun Pelangai teruja menyambut Aidilfitri apabila menerima kunjungan dan sumbangan daripada Naib Ketua PKR Cabang Bentong, Isa Ahmad, di sini semalam.

Isa berkata, kunjungan anjuran bersama Keadilan Dun Pelangai itu adalah program yang diadakan setiap untuk membina ikatan kemesraan bersama rakyat berbilang bangsa sambil menyampaikan sumbangan.

“Sumbangan ikhlas kami walau kecil dapat memberi kelegaan dan meringankan sedikit beban mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri

“Kegembiraan penerima sumbangan dapat digambarkan melalui riak muka mereka semasa menerima kunjungan rombongan kami,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, rombongan yang menziarahi warga emas berkenaan secara tidak langsung dapat menyelami keperitan hidup mereka sekeluarga.

“Ada dalam kalangan mereka ialah ibu tunggal selain ada yang tinggal berseorangan tanpa keluarga, malah ada yang berpendapatan hanya RM500 tapi tanggung anak yang ramai.

“Mereka berasa gembira dan terharu kerana pimpinan PKR datang ke rumah mereka sempena Syawal dan menyampaikan sumbangan berupa kain pasang dan keperluan harian kepada warga emas membuktikan komitmen PKR dalam membantu rakyat sepanjang masa.

Isa berkata, usaha itu sedikit-sebanyak dapat memberi keceriaan dan kegembiraan kepada mereka yang kurang bernasib baik untuk menyambut Syawal pada bulan ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.