RAUB - Hujan lebat dan berterusan sejak  dua pagi tadi telah menyebabkan 34 buah rumah di Felda Tersang 1 dan Felda Tersang 2 telah dinaiki air.

Ketua Polis Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, banjir tersebut telah menyebabkan 23 buah rumah di Felda Tersang 1 serta 11 buah rumah di Felda Tersang 2 terjejas akibat banjir kilat.

Menurutnya, pihaknya sedang meninjau keadaan banjir itu dan perkara utama yang dititikberatkan adalah berkenaan dengan keselamatan penduduk.

“Kira-kira 2 pagi tadi, hujan telah turun dengan lebatnya di kawasan Felda Tersang 1 dan 2 Raub Pahang yang telah menyebabkan air longkang dan parit telah tersumbat yang mengakibatkan telah berlakunya banjir kilat di kawasan tersebut.

"Seramai 34 keluarga dan 159 mangsa telah terlibat dalam banjir itu dan kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dan pihak kita sedang memantau keadaan yang sama di kawasan kerap berlaku banjir di daerah ini.

“Kita juga sedang meneliti bantuan awal membabitkan pelbagai agensi seperti JKM dan pihak polis terutamanya makanan untuk diberikan kepada mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Mohd Zahari berkata, setakat ini hanya dua pusat pemindahan sementara telah dibuka iaitu di  Dewan Dato Seri Adnan Hj Yaakob Felda Tersang 1 dan Dewan Semai Bakti Felda Tersang 2.

“Tiada penutupan jalan dilakukan dan saya minta kepada mangsa banjir untuk membuat laporan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dapatkan maklumat mangsa dan mudah untuk diberikan bantuan.

"Bantuan kecemasan akan terus diberikan kepada mangsa-mangsa terlibat oleh agensi bertanggungjawab dan kami juga sedang mengumpulkan data maklumat rumah dan kawasan yang terjejas dalam operasi ini,” katanya.