BENTONG - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) bersama 11 NGO alam sekitar lain menyuarakan bantahan terhadap projek pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang didakwa tidak mengundang manfaat sebaliknya menjejaskan alam sekitar.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil turut mempersoalkan kelulusan laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang didakwa tidak telus.

Dakwanya, laporan yang dibentang oleh sebuah syarikat perunding tidak menyatakan mengenai langkah-langkah pencegahan dan pemuliharaan dalam pembinaan di kawasan pembinaan di kawasan hutan paya bakau khususnya di Terengganu dan Kelantan.

“Kalau kita lihat di kawasan berbukit antara penyelesaiannya adalah dengan pembinaan terowong tetapi di kawasan berpaya bakau tidak dijelaskan penyelesaiannya yang pasti akan menyebabkan ekosistem dan air pasang surut akan terjejas.

“Antara kawasan paya yang terlibat termasuklah Hutan Kuala Paka seluas 3.8 hektar dan Hutan Kemaman seluas 41 hektar yang merupakan hutan perlindungan di Terengganu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan di tapak ECRL Lentang, Bentong, hari ini.

Selain Peka, antara 11 lagi NGO yang turut membantah ialah termasuklah Sahabat Alam Malaysia (SAM), Pertubuhan Rakan Alam Sekitar Malaysia dan Persatuan Haiwan Malaysia.

Sementara itu, Shariffa Sabrina turut mempersoalkan proses pemantauan dan penguatkuasaan projek berkenaan yang didakwa tidak dipantau secara berterusan oleh pihak berkuasa terbabit.

Ujarnya, ketiadaan penglibatan NGO berkaitan juga dilihat menyebabkan projek berkenaan tidak telus dalam aspek pemuliharaan alam sekitar dan kebajikan penduduk setempat.

“Kita dimaklumkan projek ini juga telah menjejaskan penduduk setempat malah difahamkan ada penduduk yang telah pun membuat bantahan kerana menjejaskan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa bahawa projek tersebut jelas memusnahkan alam sekitar serta turut menjejaskan 12 buah hutan simpan dan merosakkan beratus-ratus anak sungai.

Katanya, ia dilihat tidak memberikan manfaat kepada generasi akan datang sebaliknya membawa kerosakan menyeluruh termasuklah kepada kehidupan manusia dan alam sekitar.

Projek pembinaan jajaran kereta api itu dimulakan pada tahun lalu dan dijadualkan siap pada Jun 2024 melibatkan laluan sepanjang 688 kilometer menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan.