PEKAN – Sebanyak 1,000 anak pokok daripada jenis kelat jambu laut dan ketapang ditanam pada projek khidmat masyarakat bersepadu di Laman Cendekia Universiti  Malaysia Pahang (UMP), di sini, hari ini.

Program yang berlangsung sempena Minggu Induksi Siswa (MINDS) itu dijalankan 1,000 mahasiswa universiti tersebut, manakala kampus UMP Gambang menjalankan program `Clean As You Go’.

Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMP, Prof Dr Jamil Ismail berkata, hal ini selaras dengan hasrat universiti bagi mewujudkan kesedaran alam sekitar, pengetahuan, kemahiran dan kampus hijau dalam kalangan warganya.

"Penglibatan mahasiswa dalam program ini amat bermakna terutamanya dalam mencapai matlamat untuk memulihara alam sekitar. Salah satu aktivitinya adalah penanaman pokok.

"Secara tidak langsung pihak universiti dapat  menyampaikan mesej mengenai kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi kepada pelbagai lapisan masyarakat. Aktiviti ini merupakan kriteria dalam penarafan UI Green Metric," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama,  Penolong Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Nurfazliza Kamarulbahrin dan Pengarah Jaringan Industri dan masyarakat UMP, Ir Dr Nurul Hazlina Noordin.

Beliau berkata, antara aktiviti lain ialah program 3R sifar sampah, program gotong-royong perdana dan aktiviti penanaman pokok secara berkala.   

“Diharapkan program ini mencapai objektif bagi mendekati alam sekitar dan membimbing peserta untuk memberikan pendidikan dan pengetahuan yang lebih tepat mengenai program penghijauan bumi.

"Selain itu, ia juga sejajar dengan Pelan Strategik UMP yang menggariskan elemen kelestarian dan alam sekitar," katanya.