• Jamaluddin (tiga, kiri) dan Mohd Salleheen (tiga, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam. Jamaluddin (tiga, kiri) dan Mohd Salleheen (tiga, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam.
1 /

SEGAMAT - Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daerah ini membuat laporan polis bagi membantah rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan Perhimpunan Bantah 505 di negeri ini.

Pemuda Umno Bahagian Sekijang dan Majlis Belia Daerah Segamat membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, jam 12.35 tengah hari semalam, meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan tersebut yang dijangka diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru,  pada 15 Mei (esok).

Naib Ketua Pemuda Umno Sekijang, Jamaluddin Rasip berkata, perhimpunan berkenaan hanya akan menyusahkan rakyat dan boleh menggugat ketenteraman awam.

“Kami bimbang akan berlaku provokasi yang menimbulkan kemarahan mana-mana pihak yang boleh mencetuskan keadaan huru hara dalam kalangan rakyat. Saya percaya ini semua tindakan berniat jahat untuk menghasut rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Naib Pengerusi Majlis Belia Daerah Segamat, Mohd Salleheen Mohamad berkata,  perhimpunan seumpama itu  wajar dikekang.

Tegasnya, perhimpunan berkenaan tidak perlu diadakan di negara ini dan Johor Khususnya kerana keputusan PRU13 adalah muktamad dan perlu diterima dengan hati terbuka

“Banyak implikasi negatif yang akan timbul akibat perhimpunan ini. Mengapa perlu jadikan jalan raya sebagai tempat protes?” katanya.

Tambahnya, mereka berharap polis dapat menghalang perhimpunan ini daripada berlaku dan tindakan undang-undang juga harus dikenakan terhadap penganjur.