SEREMBAN - Seorang warga emas wanita cedera selepas disamun dua penjenayah di hadapan sebuah bank di Jalan Dato Bandar Tunggal di sini, malam tadi.

Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu berlaku sebaik sahaja mangsa yang berusia 69 tahun baru keluar dari bank tersebut.

“Ketika itu mangsa berjalan seorang diri sebelum didatangi suspek yang menunggang motosikal jenis Honda dari arah belakang.

“Kedua-dua suspek yang memakai topi keledar penutup penuh terus merentap beg tangan mangsa menyebabkannya terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera ringan dimasukkan ke wad Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Rais Abdullah di talian 06-6033222 sambungan 3275 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.