MELAKA TENGAH - Seorang wanita meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke tempat kerja apabila motosikal jenis SYM ditunggangginya dihempap dahan pokok di Jalan Ayer Keroh lama di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi, mangsa, Intan Syahira Ahmad Safri, 23, difahamkan baharu sahaja keluar dari rumah sewanya di Bukit Beruang untuk ke tempat kerja di sebuah kilang di kawasan perindustrian di Taman Tasek Utama di Ayer Keroh, dalam keadaan hujan lebat.

Sebaik tiba di lokasi kejadian dahan pokok secara tiba-tiba patah lalu menghempap mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hamdan Sudin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia  oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka.