• "Usah takutkan orang dengan cerita hantu" Muka depan akhbar ini pada 20 Januari lalu tentang kejadian gempar hantu di UiTM Lendu.
1 /

BUKIT BARU – Hentikan kegiatan menyebarkan cerita hantu yang boleh menjadi ketakutan khasnya pelajar baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Lendu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, gangguan histeria boleh membabitkan siapa sahaja dan berlaku di mana-mana kawasan.

“Saya nasihatkan tak payah takutkan orang sebab saya takut mereka yang suka menyebarkan cerita seperti ini akhirnya dia sendiri yang terkena histeria.

“Mungkin disebabkan dia selalu memikirkan histeria yang dialami pelajar, akhirnya gangguan ini boleh berlaku di dalam mimpi,” katanya ketika ditemui di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Keh Seng di sini, semalam.

Terdahulu, beliau mengulas tindakan pelajar universiti berkenaan yang menyebarkan cerita gangguan histeria termasuk kes curi dan pukau di blog dan twitter sehingga mendapat perhatian ramai pihak.

Namun, beliau menasihatkan pelajar khasnya tidak mudah terpengaruh sebaliknya perlu meningkatkan amalan kerohanian bagi kekuatan jiwa.

“Ibu bapa juga tidak perlu risau kerana gangguan seperti ini adalah fenomena biasa dan orang pergi kursus pun boleh terkena,” katanya.