SEREMBAN - Bayi berusia empat bulan yang dimasuk­kan ke hospital selepas dipercayai  tidak sedarkan diri ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di sini, kini mula menunjukkan perkem­bangan positif.

Bapanya, Muhammad Haikal berkata, keadaan anak tunggalnya Muhammad Ummar Zayyan, semakin baik selepas menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku dari kepalanya di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, malam Jumaat lalu.

“Saya bersyukur kerana doktor memberitahu pem­bedahan selama dua jam dilakukan berjalan lancar dan keadaannya kini stabil serta bertambah baik.

“Jika sebelum ini dia memerlukan mesin bantuan pernafasan, tapi kini tidak lagi. Dia juga sudah mula merengek dan sesekali me­nangis, namun belum mem­beri reaksi apabila namanya dipanggil.

“Biarpun begitu, doktor berkata dia masih mempunyai harapan untuk pulih,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Berkenaan dengan keadaan pendarahan mata yang dialami anaknya, Muhammad Haikal berkata, ia akan diperiksa Rabu ini dan keputusan sama ada rawatan lanjut memerlukan pem-bedahan atau tidak, akan diputuskan selepas itu.

Malah beliau juga mengharapkan orang ramai terus mendoakan kesem­buhan anaknya itu yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU).

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Ummar Zayyan kritikal akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Mambau dekat sini, pada 20 Ogos lalu.

Kejadian yang menimpa bayi tersebut tular di media sosial selepas dikongsi netizen dan mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk ada yang mengecam pengasuh berkenaan.

Dinyatakan doktor yang merawatnya turut mengesan kesan lebam di perut dan paha.

Difahamkan, ibu bapa mangsa mengenali pengasuh berkenaan melalui laman sosial Facebook.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hasan berkata, pengasuh berusia 23 tahun yang ditahan telah pun didakwa di mahkamah majistret di sini, Khamis lalu.

“Majistret tidak mem­benarkan wanita itu diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 1 Oktober depan,” katanya.