SEREMBAN - Bayi berusia empat bulan yang dimasukkan ke hospital selepas dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di sini, berkemungkinan menghadapi masalah pendengaran dan penglihatan.

Ibunya, Zura Emilia Mokhtar, 26, berkata, perkara itu diberitahu oleh doktor yang merawat anaknya, Muhammad Umar Zayyan Muhammad Haikal Hafiz yang dimasukkan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) pada 20 Ogos lalu.

“Anak saya telah pun keluar dari hospital Khamis lepas. Tapi, doktor mengesahkan ada sedikit pendarahan di bahagian mata anak saya yang mungkin menyebabkannya mengalami masalah penglihatan.

“Selain itu anak kami juga mungkin alami masalah pendengaran. Tapi apa-apa pun kami akan teruskan rawatan lanjut dan ikut apa saja nasihat doktor, ” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dia dan suami juga akan cuba ikhtiar lain dengan membuat rawatan alternatif bersesuaian.

Zura Emilia berkata, dia tidak akan berputus asa dan akan melakukan yang terbaik demi masa depan anaknya itu.

Ditanya perkembangan terkini Muhammad Ummar Zayyan, Zura Emilia berkata, keadaan anaknya menunjukkan perkembangan positif, namun dia tetap berharap doa rakyat Malaysia untuk kesembuhan anaknya.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Ummar Zayyan kritikal akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Mambau dekat sini, pada 20 Ogos lalu.

Kejadian yang menimpa bayi tersebut tular di media sosial selepas dikongsi netizen dan mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk ada yang mengecam pengasuh berkenaan.

Pengasuh berusia 23 tahun itu dituduh di Mahkamah Majistret pada 30 Ogos lalu dan sebutan semula kes pada 1 Oktober depan.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Tolong doakan anak saya...']