Peserta bertungkus lumus membina ukiran pasir.
PORT DICKSON – Kejohanan Ukiran Pasir Pantai yang julung kali diadakan di pantai Port Dickson telah menobatkan peserta daripada Unit Seni Bina, Politeknik Port Dickson (PPD) sebagai johan.
Dengan mengangkat motif permainan tradisional ukiran seluas 3.6x3.6 meter itu diukir menjadi permainan congkak dengan berlatarkan pelamin indah. Ketua Program Unit Seni Bina, Jabatan Kejuruteraan Awam PPD, Noorhayati Ismail berkata, penganjur menetapkan tema pertandingan adalah Pelancongan di Negeri Sembilan.
“Motif congkak dipilih oleh peserta Seni Bina PPD memandangkan ia adalah permainan yang masih digunakan secara meluas terutamanya di industri rumah inap desa khususnya di negeri ini.
“Reka bentuknya ringkas sahaja, namun penelitian dan ukiran serta perincian yang dilakukan oleh peserta begitu teliti sehingga berjaya menarik perhatian juri,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, baru-baru ini.
Menurutnya, pelajar melalui penglibatan kejohanan seperti ini secara tidak langsung mampu meningkatkan tahap kreativiti dan inovasi mereka dalam seni bina. “Apa yang dipelajari di dalam kuliah juga mampu diaplikasikan dengan baik dalam mereka membina ukiran pasir.
“Ini juga sebagai medium pelajar membina keyakinan melahirkan inovasi yang ada dalam diri mereka melalui idea unik dan menarik kepada paparan umum,” katanya.
Noorhayati berkata, sebelum menyertai kejohanan ini pelajar yang terlibat terdahulu melakukan beberapa kali latihan dan ini juga merupakan salah satu sistem pembelajaran sangat praktikal. “Kejohanan seumpama ini memberi peluang kepada pelajar mengekspresikan idea mereka dan memberi tambah nilai untuk kerjaya masa hadapan mereka,” katanya.
Sementara itu, Penganjur kejohanan, Zuridah Md Hassim berkata, misi program itu adalah bagi mempopularkan seni ukiran pasir di Malaysia dan mencungkil bakat baru dalam seni ukiran pasir pantai.
“Ia bertujuan memanfaatkan kegunaan pantai peranginan khususnya di Port Dickson. Penganjuran pertandingan ini secara tidak langsung dapat menarik peminat seni ukir pasir pantai bagi menunjukkan karya mereka.
“Apa yang dapat kita lihat pantai Port Dickson merupakan tempat pilihan untuk menunjukkan bakat mereka dan boleh menjadi aktiviti rekreasi berpasukan dan santai bersama rakan dan keluarga,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Abd Wahab Shamsuddin berkata, aktiviti itu bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada warga Port Dickson, malah mampu menarik lebih ramai pelancong ke pusat peranginan tersebut.
Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Xtreme Out Bound (XOB) dengan kerjasama MPPD dan turut disokong Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) serta Politeknik Port Dickson menerima penyertaan sebanyak 14 pasukan membabitkan 56 peserta.




