SEREMBAN – Kerajaan digesa menyemak semula cadangan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Negara bagi memastikan sistem pendidikan negara sentiasa konsisten dan berada pada landasan tepat.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, suruhanjaya berkenaan perlulah dianggotai oleh mereka yang tidak berkepentingan seperti ahli akademik dan tokoh pendidikan daripada pelbagai kaum dan latar belakang supaya isu pendidikan boleh dilihat secara lebih holistik.

“Cadangan berkenaan penubuhan itu telah disuarakan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kepada Timbalan Perdana Menteri sebelum ini dan ia disambut baik.

“Tapi kerajaan dan menteri sudah pun bertukar menyebabkan cadangan itu seolah-olah tergantung. Kita tak mahu dasar pendidikan itu berubah setiap kali semuanya bertukar kerana ia akan menyusahkan guru dan pelajar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dengan adanya suruhanjaya itu ia berperanan mengawal polisi serta segala dasar berkaitan dan paling penting memastikan sistem pendidikan bebas daripada pengaruh politik.

Ini kerana beliau berpendapat, kerajaan terdahulu menggunakan kepentingan politik dalam menentukan sesetengah dasar pendidikan.

“Jangan kerana nak dapatkan sokongan daripada pihak tertentu atau kaum tertentu, kerajaan membenarkan apa yang bertentangan dengan perlembagaan dan falsafah pendidikan negara.

“Sebab itulah kita lihat perlunya suruhanjaya ini ditubuhkan. Tapi setakat ini belum ada apa-apa perkembangan mengenainya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, bagi memastikan segala dirancang berjalan lancar ia memerlukan iltizam dan komitmen semua pihak khususnya ahli politik.