SEREMBAN - “Syukur,” itu kata Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika diminta mengulas tindakan Gerakan buat keputusan keluar dari BN.

Katanya, tiada ada yang perlu dikatakan lagi kerana parti itu telah buat keputusan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad sempat menasihatkan parti komponen BN yang lain  meneruskan perjuangan dan membina semula parti itu supaya lebih kukuh.

“Masing-masing perlu menjaga dan memelihara parti mereka menjadi lebih kuat. Bila sama-sama kuat kita akan kembali dengan lebih cemerlang.

“Kita bukan lagi kerajaan nak bantu semua. MCA serta MIC juga perlu sama-sama bekerja untuk jaga parti dan tidak boleh harapkan Umno sahaja,” katanya ketika ditemui  pada sambutan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Kampung Tanjung Rantau, di sini, semalam.  

Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L Manickam; Adun Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan Adun BN yang lain.

Sementara itu, kira-kira 10,000 tetamu hadir memeriahkan rumah terbuka berkenaan yang terdiri daripada berbilang kaum dari seluruh pelusuk negeri ini.  

Sambutan rumah terbuka berkenaan diadakan di rumah arwah ibu Mohamad dari jam 9.30 pagi hingga 5 petang.