SEREMBAN - Gambar Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkaki ayam dan meredah banjir kilat yang berlaku di Masjid Imam Haji Kahar(Mihaq), Bandar Ekar Rantau pagi tadi, mencuri perhatian netizen.

Ramai yang memuji bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu di Facebook yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

Ada yang menyatakan harapan supaya beliau terus menjadi Adun Rantau dan ada juga yang beranggapan itu sekadar 'lakonan' memandangkan PRK di kawasan itu akan diadakan tidak lama lagi.

Kejadian banjir itu berlaku selepas hujan lebat berterusan selama lebih dua jam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Muhammad Efeendy Rahmad berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 11.01 pagi.

"Didapati rumah milik imam dan bilal yang terletak di dalam kawasan masjid berkenaan dinaiki air.

"Hanya sebuah rumah yang terjejas kerana dimasuki air sedalam 0.6 meter. Kesemua penghuni selamat dan tiada dipindahkan kerana air telah pun surut," katanya.

Menurutnya,  kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan limpahan air dari longkang yang tidak diselenggarakan dengan baik selain kerja pembinaan di kawasan berhampiran.