SEREMBAN – Tindakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman memecat pegawainya serta-merta selepas merakam video dari bawah skirt seorang wanita adalah keputusan tepat.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, perbuatan lelaki terbabit tidak bermoral kerana memalukan selain mencerminkan sikap tidak menghormati wanita.

“Voyeurisme adalah suatu kecenderungan seksual (paraphilia) untuk ‘mengintip’ organ seks orang lain secara diam-diam dan sesiapa saja boleh menjadi voyeur.

“Biasanya perbuatan itu kebanyakannya tidak bermotif jahat tetapi lebih kepada memenuhi keinginan nafsu dan tidak menghormati wanita,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sehubungan itu katanya, pentingnya falsafah menghormati wanita dijadikan sebagai satu dasar pelan pembangunan masyarakat.

Terdahulu media melaporkan, seorang staf wanita kedai cermin mata di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur membuat laporan polis selepas menyedari kejadian itu ketika sedang membuat pemeriksaan mata ke atas Mohd Azis.

Sebuah klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bertarikh 8 September 2018 tersebar menunjukkan seorang wanita sedang memeriksa mata Mohd Azis dengan seorang lelaki lain duduk di belakang wanita tersebut.

Lelaki itu dilihat menggunakan telefon bimbitnya seakan membuat rakaman dari bawah skirt wanita berkenaan.