MELAKA - Kerajaan Negeri merangka tiga pendekatan utama melibatkan sistem saliran dan tebatan banjir dalam usaha mengatasi masalah banjir yang melanda negeri ini, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Katanya, pendekatan hasil perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran ialah memastikan kerja-kerja penyelengaraan sungai dan parit yang lebih berkesan; memberbaiki dan menaiktaraf sistem saluran air; dan pembinaan tebatan banjir.

Beliau berkata, kerja penyelengaraan sungai dan parit itu melibatkan pembersihan talian air serta melebarkan dan mendalamkan sungai-sungai di sekitar kawasan yang kerap berlaku bencana itu dalam usaha mengelakkan kejadian banjir berulang lagi.

“Ini termasuk meninggikan tebing sungai di kawasan berisiko banjir dan ini pendekatan jangka pendek yang mana ianya mesti dilaksanakan sekarang...hari ini juga kerja-kerja jentera bagi mendalamkan sungai di sekitar kawasan yang dilanda banjir sudah bermula terutamanya di kawasan di Tehel, Jasin.

“Kita harap pendekatan jangka pendek yang kita rancang ini dapat diselesaikan dalam jangka masa sebulan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri  Melaka di sini, hari ini.

Idris berkata, kerja pembinaan tebatan banjir adalah pendekatan jangka panjang dan tebatan banjir akan dibina di tanah lapang untuk digunakan sebagai takungan air bagi mengekang sungai daripada penuh dan kawasan rumah daripada ditenggelami air.

“Kita kenal pasti antara punca yang menyebabkan kawasan di Melaka dilanda banjir ialah pertemuan antara dua sungai iaitu Sungai Duyong dan Sungai Ayer Panas yang menyebabkan kawasan-kawasan rendah seperti di Kampung Tehel terpaksa menerima limpahan air sungai yang banyak,” katanya.

Katanya, perkara tersebut juga merupakan faktor utama menyebabkan banjir termenung iaitu air tidak bergerak dan lambat surut berlaku sebanyak dua kali di beberapa kawasan di negeri ini dalam tempoh dua bulan ini.

Jumlah penduduk terjejas banjir menurun kepada 242 orang di enam pusat pemindahan setakat pukul 5 petang ini berbanding 251 orang di tujuh pusat pemindahan tengah hari tadi. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.