KUALA PILAH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri memindahkan tiga ekor gajah betina liar di Kampung Parit Mungkal, Tanjung Ipoh, di sini, hari ini.

Pengarah Perhilitan negeri, Wan Mat Wan Harun berkata, gajah dewasa dan dua ekor anaknya itu dipindahkan selepas didapati merosakkan tanaman di kebun kelapa sawit di Kampung Parit Mungkal.

“Operasi pemindahan gajah seberat 3 tan dan dua anak gajah masing-masing kira-kira 2 dan 1 tan itu dilakukan dengan bantuan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.

“Kita menggunakan dua gajah betina yang dikenali sebagai Abot dan Rambai bertindak sebagai denak bagi menjinakkan gajah liar tersebut untuk dipindahkan ke Taman Negeri Pahang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

 Wan Mat berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat kumpulan gajah liar berkeliaran dalam hutan berhampiran termasuk Tengkek, Berembun, Pelangai, Teriang serta Temasuh di Pahang membabitkan keluasan kira-kira 200 kilometer persegi.

Sinar Harian difahamkan, seramai 30 anggota Perhilitan terlibat dalam operasi selama tiga jam bermula kira-kira jam 9 pagi itu.