SEREMBAN - Tiga lelaki dilaporkan cedera selepas sebuah lori tiga tan membawa muatan barangan terpakai merempuh sebuah chalet di Kampung Orang Asli di Pedas, dekat sini, hari ini.

Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Dzor Yusof berkata, dalam kejadian pukul 3.50 petang itu, lori berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh chalet Temuan Kraft yang dihuni lapan lelaki.

"Tiga daripada lapan orang yang berada di dalam chalet berkenaan cedera, bagaimanapun pemandu lori serta kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kesemua mangsa dihantar ke hospital sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian. - Bernama