MELAKA - Seorang suri rumah bersama dua anak perempuannya sempat menyelamatkan diri dalam satu kebakaran rumah kedai setingkat di Taman Bukit Cheng, di sini, malam kelmarin.

Menurut suri rumah yang tidak  mahu namanya dikenali, ketika kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, dia berada di tingkat atas rumah kedai berkenaan sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan dari restoran yang diusahakannya di tingkat bawah.

"Saya bergegas memanggil anak-anak yang sedang belajar di rumah tamu untuk keluar dari rumah selepas lihat asap tebal mula keluar dari bahagian dapur restoran. 

"Jiran-jiran pun menjerit suruh kami keluar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku kerana kedainya beroperasi dari jam 5 pagi hingga 3 petang.

"Mujur tak ada siapa di dalam kedai. Terima kasih kepada pihak bomba yang bertindak pantas memadamkan kebakaran dari merebak," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jalan Kubu Pegawai Kanan Bomba II, Mohd Zahery Zailani berkata, operasi memadam api disertai 13 anggota dan pegawai serta melibatkan dua jentera pemadam dan sebuah unit kecemasan (EMRS).

"Kebakaran itu berjaya dikawal dan dipadamkan kira-kira jam 9 malam. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi disiasat," katanya.