• Zainab bersama Khalil (dua, kanan) dan tetamu lain yang hadir pada Majlis Sambutan Konvoi Kibar Jalur Gemilang di KRT Kampung Halacara Baru, Londah, semalam. Zainab bersama Khalil (dua, kanan) dan tetamu lain yang hadir pada Majlis Sambutan Konvoi Kibar Jalur Gemilang di KRT Kampung Halacara Baru, Londah, semalam.
1 /

GEMAS – Generasi muda disarankan untuk tidak malu mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kebanggaan mereka terhadap kedaulatan dan keamanan negara yang sudah hampir mengecap usia kemerdekaan ke 55 tahun.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri, Mohd Khalil Ahmad berkata, walaupun bulan kemerdekaan masih belum tiba tahun ini, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan konvoi Kempen

Mengibarkan Jalur Gemilang ke sekitar negeri ini bagi membangkitkan semangat anak muda.

Menurutnya, walaupun langkah berkenaan dianggap remeh oleh sesetengah pihak terutamanya generasi muda, ianya seharusnya tidak mematahkan semangat pihak jabatan dalam meningkatkan semangat patriotisme rakyat melalui pengibaran Jalur Gemilang.

“Oleh itu, pada tahun ini buat julung kalinya, kita berjaya menghimpunkan seluruh warga JPNIN baik di peringkat Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jawatankuasa Perlaksanaan Tabika Perpaduan dan kakitangan jabatan untuk berkonvoi di negeri ini bagi meningkatkan semangat rakyat dalam mengibarkan Jalur Gemilang.

“Malah, pada penganjuran ini ianya berjaya mencatatkan sejarah apabila 65 kereta membabitkan 240 peserta menyertai konvoi yang bermula di Port Dickson dan berakhir di Senawang lewat petang ini (semalam),” katanya sempena Majlis Sambutan Konvoi Kibar Jalur Gemilang di KRT Kampung Halacara Baru, Londah, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Gemas, Datuk Zainab Nasir; Pegawai JPNIN Daerah Rembau/ Tampin, Naizarina Isa dan Ketua Polis Balai Gemas, Inspektor Ahmad Huzaimi Abd Rashid.

Sementara itu, Zainab berkata, diharap semangat yang ditonjolkan oleh peserta konvoi akan membuka mata rakyat untuk lebih menghargai perpaduan dan keamanan negara pada masa kini.

“Soal keamanan negara dan tugas dalam menyemarakkan semangat perpaduan antara kaum bukan hanya terletak di bahu pihak JPNIN sahaja, bahkan masyarakat juga memainkan peranan sama," katanya.