MELAKA TENGAH - Tahun 1511 merupakan tarikh keramat yang menandakan berakhirnya era Kesultanan Melaka.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka (PSMCM), Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mohd Mukmin berkata, sejak itu Melaka tiada lagi sultan.

Katanya, Sultan Melaka tidak lagi wujud setelah Portugis menawan Kota Melaka pada 10 Ogos.

“Sultan Mahmud Shah telah beberapa kali cuba menawan kembali Melaka tetapi gagal.

“Baginda akhirnya ambil keputusan berundur ke Kampar, Riau, Indonesia dan mangkat di sana,” katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu, beliau berkata, PSMCM menyokong penuh pendirian Kerajaan Melaka yang menolak dakwaan kewujudan Sultan Melaka pada masa ini.

“Saya percaya tindakan Kerajaan Melaka adalah tepat dalam membanteras agenda atau unsur yang tidak wajar.

“Tindakan individu yang mendakwa pewaris Sultan Melaka ini bukan sahaja boleh memecah belahkan dan mengelirukan masyarakat, malah boleh menjejaskan keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata, tuntutan sesetangah individu ini juga dilihat mencabar insititusi Diraja Malaysia dan kedaulatan Undang-undang Malaysia.

Justeru itu, beliau berpendapat, golongan ini perlu dikenakan hukuman yang setimpal supaya mereka tidak lagi mendakwa diri sebagai pewaris Sultan Melaka.