Mogan (dua, kanan) ketika meninjau perkembangan pemasangan lampu jalan di simpang Jalan Felda Bukit Rokan Barat - Dangi yang siap sepenuhnya.
JEMPOL - Ketiadaan kabel penyambung dikatakan menjadi punca kelewatan pemasangan lampu jalan di Jalan Felda Bukit Rokan Barat - Dangi, di sini.
Bagaimanapun, masalah itu akhirnya berjaya diatasi sepenuhnya selepas usaha pemasangan kelengkapan berkenaan dilaksanakan dengan kos pembinaan mencecah RM66,400.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam negeri, Datuk VS Mogan berkata, sebanyak 14 tiang lampu dibina, sekali gus menyelesaikan rungutan penduduk berhubung risiko kemalangan di jalan berkenaan.
"Saya dimaklumkan, kelewatan pemasangan lampu berkenaan disebabkan tiada kabel penyambung di persimpangan jalan di situ. Berikutan itu, ia memerlukan bajet yang tinggi. “Bagaimanapun, kawasan berkenaan dilihat perlu dilengkapkan dengan kemudahan lampu jalan kerana sering berlaku kemalangan berikutan keadaan gelap di waktu malam, tambahan pula ia merupakan persimpangan jalan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram Padang berkata, langkah memasang lampu berkenaan diputuskan selepas membuat perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.
"Ia berikutan kita terima banyak daripada pengguna jalanraya, terutamanya bagi penduduk sekitar Felda Bukit Rokan Barat," katanya yang membuat tinjauan di lokasi berkenaan.
Turut serta dalam lawatanberkenaan, Ketua Umno Cawangan Felda Bukit Rokan Barat, Mohd Shis Moh Kamari. Sementara itu, Mohd Shis berkata, pemasangan lampu itu sekali gus menamatkan penantian penduduk bertahun-tahun agar kerajaan melakukan sesuatu untuk menyelasaikan masalah jalan berisiko di situ. "Setidak-tidaknya, langkah berkenaan boleh mengurangkan insiden kemalangan di kawasan berkenaan,” katanya.




