SEREMBAN - “Saya harap mereka faham (perkara ni). Bagi saya, komen tu biasalah dan saya terima sebagai pandangan mereka,” ujar Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Demikian respons beliau ketika diminta mengulas teguran segelintir pihak di luar sana membabitkan tindakannya yang memegang beberapa portfolio secara serentak dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita ada tanggungjawab terhadap apa yang kita buat. Rasanya tak ada masalah, sebab (menteri besar) yang lepas pun sama.

“Cuma kita ada perubahan sikit dengan yang lepas. Bukannya saya nak meniru, tapi macam (hal) tanah, kewangan dan keselamatan tu selalunya memang menteri besar yang pengerusikannya.

“Kalau saya nak tulis semuanya sekali bawah satu (jawatan) pengerusi pun boleh, tapi nampaknya dah tertulis (pecah) lima. Sebenarnya yang pegang lebih banyak (portfolio) daripada tu pun ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Kampung Baru Sikamat, di sini, bagi mencari penyelesaian melibatkan masalah banjir kilat yang berlaku sejak 17 tahun lalu.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan, Ir Rozman Mohamad serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd Halim Abd Latif.

Aminuddin yang menggalas jawatan  Exco Kewangan, Tanah dan Sumber Alam; Exco Agama Islam; Exco Pelancongan; Exco Keselamatan serta Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam telah mencuri tumpuan pihak tertentu di laman media sosial Facebook.

Ada berpendapat, perbuatan sebegitu merupakan satu kesalahan jelas kerana beliau dilihat seolah cuba kuasai kesemua jabatan hingga mudah berlaku salah guna kuasa.

Selain itu, tidak kurang pula yang menyuarakan teguran secara sinikal dengan menyifatkan beliau seperti cuba menyapu bersih segala jawatan dalam kerajaan negeri.

Namun jika dilihat pada Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Mohamad Hasan, beliau juga menyandang beberapa portfolio secara serentak iaitu Exco Kewangan dan Tanah; Exco Agama Islam; Exco Keselamatan dan Penerangan; Exco Pelaburan, Perindustrian dan Keusahawanan serta Exco Pembangunan Luar Bandar.

Dalam hal ini, persamaan portfolio antara Aminuddin dan Mohamad hanya bidang kewangan, tanah, keselamatan dan agama Islam.