MELAKA TENGAH - ​​​​​​​​Lebih 200 penduduk Kampung Portugis, di sini, mengadakan bantahan secara aman bagi meluahkan kekecewaan dan kekesalan terhadap projek Melaka Gateway di Pulau Melaka, Banda Hilir, semalam.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Portugis, Jasinta Lazaroo, 55, berkata, kekecewaan itu disebabkan pemaju, KAJ Development Sdn Bhd sehingga sekarang tidak membuat sebarang sesi dialog bersama penduduk dan melibatkan kerajaan negeri.

“Penduduk tertanya-tanya situasi yang berlaku memandangkan projek itu terus memberi impak negatif kepada penduduk terutama nelayan sukar ke laut akibat penambakan laut yang berlaku sehinggakan persisiran pantai berlumpur terutama apabila air surut,” katanya.

Jasinta Lazaroo

“Dalam tempoh empat tahun projek berkenaan berjalan, penduduk pernah melakukan demonstrasi aman namun kesal seolah-olah suara penduduk awal kawasan tidak didengari mereka yang terlibat termasuk kerajaan sebelum ini.

“Kami dah beberapa kali buat demonstrasi aman, hantar memorandum tapi sampai sekarang pemaju tak pernah buat sesi dialog dan perbincangan sedangkan keadaan semakin hari semakin teruk kerana penduduk terpaksa berdepan debu serta habuk apabila angin kuat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Martin Theseira, 56, berkata, kerajaan negeri perlu bertegas dalam hal ini dengan terus mengambil tindakan memberhentikan projek itu selagi sebarang perbincangan tidak dilakukan di antara ketiga-tiga pihak.

“Saya dimaklumkan perbincangan yang dibuat pemaju bersama kerajaan negeri sudah dilakukan dan penduduk didakwa dipinggirkan sedangkan yang menerima kesan dari projek tersebut adalah penduduk.

Martin berkata, mereka bukan menolak pembangunan namun biarlah sesuatu pembangunan yang dilakukan biarlah mengambil kira pandangan penduduk berhampiran supaya kampung masyarakat Portugis itu tidak pupus dan dibunuh oleh pembangunan Melaka Gateway.

[ARTIKEL BERKAITAN: Usung keranda bantah Melaka Gateway]

“Kami minta tolong kerajaan negeri bertegas dalam hal ini dan hentikan segera kerja-kerja menambak tanah selagi perbincangan bersama tidak dilakukan.

“Jika tidak kami akan terus mogok dan membuat flash mob selagi hasrat dan luahan hati penduduk ini tidak dipedulikan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, pada demonstrasi berkenaan, penduduk turut membawa turun tiga keranda dari sebuah lori dan diletakkan di hadapan pekarangan pejabat KAJ Development Sdn Bhd sebagai simbolik penduduk kampung akan mati sekiranya projek diteruskan.

Selain itu turut dibuang wang palsu yang menandakan golongan miskin seperti mereka hilang mata pencarian sebagai nelayan berikutan ditindas golongan yang kaya dan berkuasa.

Ikan busuk, pendapatan merosot

Bukan sahaja hampir hilang punca pendapatan sebagai nelayan, namun seorang penduduk turut mendakwa menerima ugutan dari pekerja projek Melaka Gateway.

Agustin Demello, 47, berkata, dia menerima ugutan pukul ketika menebar jala berdekatan projek itu sedangkan sudah biasa melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan tersebut biasa.

“Lebih menyedihkan hasil tangkapan yang merosot dan berbau busuk sehingga tidak dapat dijual kepada pelanggan. Inilah realitinya, ikan tangkapan berbau busuk dan tak ada pun yang mahu membeli.

“Sudahlah diugut pukul, hasil tangkapan yang juga merosot daripada dua hingga tiga kilogram, sekarang nak dapat sekilogram pun sukar,” katanya.

Bagi nelayan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Amy, 42, berkata, dia mendakwa mengalami gatal dan kaki berkudis disebabkan air laut yang tercemar berbeza sebelum projek itu wujud.

“Disebabkan mengalami gatal yang teruk saya terpaksa garu hingga luka-luka dan memang air laut ini sudah terjejas selain lumpur yang tebal.

“Sudahlah projek tidak dipagarkan dan sekarang kami penduduk yang menderita sehingga belum bernoktah,” katanya.

Nafi terima memorandum, projek ikut spesifikasi

Pemaju KAJ Development Sdn Bhd menafikan pihaknya tidak mengamalkan dasar terbuka dan bersedia berbincang dengan penduduk kampung itu.

Pengurus besarnya, Hasbullah Zakaria, berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang memorandum bantahan secara rasmi termasuk pampasan yang diminta daripada penduduk.

Menurutnya, sehingga kini projek berkenaan mengikut spesifikasi yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri seperti jarak 750 meter antara pantai dan pulau, bukan 350 meter seperti dakwaan penduduk.

“Apa yang boleh saya komen projek ini memang mengikut peraturan alam sekitar dan kita bersedia berjumpa dan berbincang bersama penduduk,” katanya.

Pada 1 Julai lalu, akhbar ini melaporkan mengenai penduduk dan nelayan di Kampung Portugis menggesa kerajaan negeri segera mengambil tindakan menghentikan kerja-kerja penambakan laut bagi projek Melaka Gateway.

Projek Melaka Gateway seluas 246.4 hektar yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari 2014 dijangka siap pada 2025 dengan kewujudan tiga buah pulau dan dua daripadanya adalah buatan manusia.