PORT DICKSON – Melihat fenomena matahari terbit dan matahari terbenam, adalah suasana yang sangat mengujakan apatah lagi apabila kita dapat melihat rupa bentuk matahari.

Di Balai Cerap Telok Kemang, Kompleks Baitul Hilal di sini, pengunjung boleh berbuat demikian malah permukaan sebenar matahari dan julangan gas api yang terdapat di sekelilingnya turut dapat dilihat.

Pengurus Balai Cerap Telok Kemang, Ahmad Zaki Hamzah berkata, di sini terdapat teleskop matahari dilengkapi pelindung khusus yang melindungi mata apabila kita melihat matahari dengan jarak yang dekat.

“Melihat julangan gas api matahari secara langsung adalah pengalaman yang baik untuk mengetahui kebesaran Allah SWT, objek yang dikatakan telah wujud sejak 5,000 juta tahun lalu.

“Julangan gas api adalah teramat panas dan boleh mencecah sehingga 100,000 kilometer ke angkasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Zaki berkata, teleskop ini baru sahaja siap dipasang dan orang ramai sudah boleh datang ke sini untuk menggunakannya.

“Selain dibuka untuk orang ramai mencerap atau melihat matahari, ia juga dibuka untuk kerja-kerja penyelidikan,” katanya.

Ahmad Zaki menambah, teleskop matahari diimport dari Amerika Syarikat sementara kubah balai cerap ini diimport dari Poland.

“Namun apa yang membanggakan kita adalah sistem operasi kubah dan teleskop ini digabung dan dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tenaga mahir anak tempatan,” katanya lagi.

Sementara itu, Penolong Pengurus Pendidikan dan Latihan Balai Cerap Telok Kemang, Muzamir Mazlan berkata, dengan menggunakan teleskop matahari kita boleh mencerap ketika fenomena Istiwa A’zam.

“Ia adalah fenomena di mana matahari berada tepat pada titik zenith di atas Ka’abah pada tengah hari di Mekah sementara kita pada waktu petang di Malaysia.

“Fenomena ini berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei jam 5.16 petang dan 16 Julai pada jam 5.28 petang setiap tahun. Apabila berlaku fenomena ini, kita boleh menentukan arah kiblat dengan tepat,” katanya.

Tambahnya, Balai Cerap Telok Kemang turut dilengkapi dengan kemudahan teleskop yang boleh mencerap cakerawala.

Orang ramai yang ingin ke Balai Cerap Telok Kemang boleh menghubungi 06-648 7888.


INFO

Balai Cerap Telok Kemang sering menjadi tumpuan pengkaji ilmu Falak ataupun ilmu astronomi dalam dan luar negara kerana balai ini merekodkan kenampakan anak bulan paling tinggi dalam sejarah Balai Cerap di seluruh Malaysia.

Balai Cerap Telok Kemang mula beroperasi secara rasmi pada tahun 1960 dan telah melalui beberapa siri penambahbaikan dan naik taraf.

Sejumlah RM38 juta daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan telah diperuntukkan bagi membina Kompleks Baitul Hilal yang meliputi balai cerap serta kemudahan 84 bilik hotel yang dinamakan sebagai Klana Beach Resort Port Dickson.