SEREMBAN – “Seperti yang dijangkakan Menteri Besar tidak akan mahu ikut apa yang saya buat atau rancang terdahulu walaupun kita tahu itu adalah baik untuk rakyat negeri ini,” kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai penangguhan pengisytiharan Seremban sebagai Bandaraya.

Katanya, pelbagai kemudahan telah pun tersedia di Seremban, malah ia sudah menepati syarat yang ditetapkan untuk diisytiharkan sebagai Bandaraya.

“Terpulanglah kepada kerajaan negeri sekarang ini sebab dulu saya umumkan dan rancang nak isytihar Bandaraya Seremban untuk Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz sempena Hari Keputeraan Baginda pada 14 Januari 2019.

“Pengisytiharan itu nanti akan dijadikan sebagai salah satu acara sambutan semasa Hari Keputeraan Baginda. Namun, terpulang kepada MB, saya tak boleh campur tangan lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Jalaludin Alias berkata, kerajaan BN terdahulu sudah bersedia begitu lama untuk membuat pengisytiharan.

Katanya, pada 2012, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika itu sudah meluluskan untuk kerajaan negeri membuat pengisytiharan Seremban sebagai Bandaraya.

Bagaimanapun, katanya, pengisytiharan itu ditangguhkan sehingga 2019.

“Penangguhan itu bagi membolehkan kerajaan negeri memastikan segala persiapan dan fasiliti untuk rakyat tersedia sepenuhnya sebagai sebuah Bandaraya.

“Alangkah sayangnya tarikh Januari 2019 itu ditangguhkan kerana rakyat negeri ini berhak untuk memperoleh pengiktirafan itu,” katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri sepatutnya mengambil pendekatan untuk menambah baik  persiapan yang ada bukan menangguhkan perkara tersebut.

Apabila berlaku penangguhan, berliau berkata, bermakna kerajaan negeri sendiri belum bersiap sedia sepenuhnya dan tidak yakin dengan kemampuan yang ada untuk gabung Seremban dan Nilai sebagai entiti baharu nanti.

Terdahulu, menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, pengisytiharan Seremban sebagai Bandaraya yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Januari 2019 terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kepada PBT terlibat untuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.