PANTAI KUNDOR -  Calon BN Dun Paya Rumput, Datuk Abu Bakar Mohd Diah menyifatkan kenyataan dilontarkan Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen mengenai perebutan kerusi Dun adalah sebagai gurauan sahabat.

“Pernah Mohd Rafiq kata, kalau saya bertanding dan dia pun bertanding, dia tak mahu dan akan tarik diri,” katanya.

Abu Bakar yang juga penyandang kerusi Parlimen Tangga Batu berkata, perkataan dilontarkan Mohd Rafiq adalah ketika pertemuan mereka lebih empat tahun lalu.

Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan ia sekadar gurauan selain mengakui hubungan mereka masih baik walaupun kini berbeza ideologi politik.

Menurutnya, terpulang kepada individu itu untuk buat keputusan sama ada terus bertanding ataupun sebaliknya situasi itu menunjukkan kematangan berpolitik dan menjunjung demokrasi.

Kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, sekiranya keputusan menarik diri berlaku, pastinya ia laluan mudah untuk menang di kerusi Paya Rumput yang sebelum ini disandang Datuk Sazali Muhd Din kerana hanya berdepan calon Pas, Rafie Ahmad.

“Kami sebenarnya tak ada masalah. Kami memang berkawan baik. Kalau dia tarik diri pun bagus juga kerana mudah untuk saya memenangi PRU ini,” katanya selepas Program Masih Ada Yang Sayang di Dewan Kompleks Japerun Pantai Kundor di sini, tadi.

Sebelum ini, ada ura-ura bekas Exco Pemuda Umno itu akan menarik diri daripada bertanding tiga penjuru di kerusi berkenaan pada PRU14.