SEREMBAN – Sebanyak 114 aduan pembakaran terbuka diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata daripada 114 aduan tersebut, 92 kes aduan melibatkan sampah sarap yang dibakar di kawasan perumahan dan kampung serta di tepi-tepi jalan.

"Bagi kes pembakaran terbuka skala kecil di kawasan perumahan dan kampung, pelaku diberikan amaran lisan supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.

“Surat amaran serta notis arahan juga dikeluarkan kepada pelaku ataupun tuan tanah supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengambil langkah kawalan mengelakkan kejadian yang sama berulang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Seminar Larangan Pembakaran Terbuka dan 'Town Hall Session' sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2018 anjuran Jas Negeri Sembilan. Turut hadir Pengarah JAS negeri Norhazni Mat Sari.

Katanya sebanyak 111 kompaun dikeluarkan JAS Negeri Sembilan bagi kes pembakaran terbuka dari tahun 2013 sehingga 2018 manakala bagi kes pembakaran terbuka yang besar, pesalah akan dikenakan tindakan mahkamah.

"Untuk tempoh dari tahun 2013 sehingga 2018, JAS Negeri Sembilan telah menyediakan enam kertas siasatan untuk tindakan mahkamah bagi kesalahan pembakaran terbuka berskala besar.

“Mereka yang sabit kesalahan melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan,” katanya.

Veerapan berkata, memandangkan pencemaran udara dan pembakaran terbuka boleh memberi kesan kepada manusia dan alam sekitar, semua pihak perlu berkerjasama mengambil langkah-langkah bagi mengatasi masalah tersebut.

“Peranan yang dimainkan pihak kerajaan, swasta serta setiap individu dalam memelihara alam sekitar bukan suatu yang dianggap sampingan sahaja. Ia satu tanggungjawab yang besar kerana melibatkan kepentingan bersama.

"Kesedaran terhadap kepentingan alam sekeliling serta kepatuhan terhadap peruntukan akta, peraturan, perintah, kaedah sehinggalah kepada Undang-Undang Kecil yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan akan memberikan kejayaan dalam menangani masalah alam sekitar," katanya.

Veerapan berkata bermula Ogos lepas, JAS telah mengeluarkan larangan pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di mana sekiranya berlaku pembakaran terbuka dan disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.- Bernama.