SEREMBAN - Semua Exco negeri ini diberi tempoh selama dua bulan untuk mengisytiharkan harta sebagai memenuhi janji Pakatan Harapan kepada rakyat.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkatya, pengisytiharan itu bukan sahaja dari segi pendapatan dan aset malah membabitkan anak, isteri dan suami yang perlu dinyatakan dengan jelas.

“Ini janji kepada rakyat dan wajib kita lakukan cuma sekarang pengisytiharan itu dibuat dengan lebih telus dan mendalam bukan kepada Exco sahaja tetapi semua ahli keluarga mereka juga perlu membuat pengisytiharan harta dan pendapatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini adalah salah satu cara untuk mengelakkan diri daripada gejala rasuah pada masa akan datang dan saya memberi tempoh sekurang-kurangnya dua bulan untuk mereka selesaikan perkara tersebut tanpa gagal,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Raya Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Sembilan, semalam.

Menurutnya, semua Exco turut dinasihatkan mengambil langkah seperti saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melaporkan setiap pemberian hadiah atau sebarang bentuk cenderahati kepada SPRM.