SEREMBAN – Jabatan Veterinar Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) memohon maaf jika tindakan mereka dalam operasi tangkapan anjing liar di Taman Warisan Puteri di Sikamat baru-baru ini menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, pihak berkenaan akan meneliti semula prosedur kerja berkaitan tindakan terbaik boleh dilakukan bagi menangani masalah itu.

“Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, MPS dan kerajaan negeri menyedari isu sensitiviti, etika kebajikan haiwan serta aspek teknikal operasi dijalankan yang telah menimbulkan perasaan tidak tenteram, kemarahan dan bantahan pelbagai pihak.

“Oleh sebab itu, kami memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak atas perkara yang telah berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, Dr Zul Edham Wagimam ketika dihubungi Sinar Harian berkata, operasi berkenaan dijalankan secara bersama susulan aduan orang ramai mengenai masalah anjing liar yang semakin meningkat.

Beliau berkata, Seremban dan Nilai mencatatkan kes aduan yang paling tinggi iaitu hampir 1,000 kes di mana sehingga kini hanya sekitar 6 peratus sahaja yang mampu diselesaikan.

“Kami menerima tekanan tinggi dari orang awam untuk selesaikan masalah itu. Disebabkan oleh kekangan sumber, operasi terpaksa dibuat mengikut keutamaan kawasan yang mempunyai risiko lebih tinggi dan terdapat kes serangan atau gigitan anjing.

“Tapi ada sesetengah pihak yang kurang senang dengan tindakan dilakukan. Jadi, kami akan mengadakan mesyuarat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Pencinta Haiwan dan aktivis untuk mencari jalan terbaik bagi menangani masalah anjing liar,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya turut berjanji isu yang berlaku baru-baru ini tidak akan berlaku lagi.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan mengenai keresahan penduduk Taman Warisan Puteri yang bimbang dengan masalah anjing liar di kawasan itu.

Tindakan susulan telah pun diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menjalankan operasi tangkapan, namun ia menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak termasuk Persatuan Pencinta Haiwan Malaysia.

Menerusi kenyataan media di laman Facebooknya, persatuan itu menyifatkan tindakan dilakukan sebagai siri keganasan dan tiada perikemanusiaan.