LAZIMNYA, persembahan tarian singa dilihat ketika meraikan kedatangan Tahun Baharu Cina atau majlis kebesaran tertentu masyarakat Cina.

Namun,  majlis persandingan pasangan pengantin Melayu di Taman Usrah Jaya, Tengkera, Melaka, tampil kelainan apabila mereka diarak dengan tarian singa dan paluan gendang.

Majlis pernikahan dan persandingan pasangan Mohd Hilmie Hussin, 39, dan Dhamirah Atiqah Mohd Norzin, 30, berlangsung dengan suasana penuh harmoni dihadiri lebih 1,000 tetamu.

Mohd Hilmie merupakan wartawan di akhbar Harian Metro, manakala Dhamirah Atiqah pula adalah wartawan penyiaran di RTM Melaka.

Menurut Mohd Hilmie, persembahan tarian singa berkenaan adalah hadiah daripada rakan wartawan yang bertugas di akhbar China Press, Tan Boon Siang.

“Tan Boon Siang mempunyai kumpulan tarian singa dikendalikan sendiri olehnya. Jadi, dia menawarkan diri untuk membawa pasukan tarian singa ini sempena majlis persandingan saya dengan isteri, sekali gus dapat memeriahkan lagi detik bersejarah kami suami isteri," katanya.

Ketika bersanding, dua ekor singa yang diiringi paluan gendang menarik perhatian tetamu yang hadir.

Pasangan pengantin kemudian menyambut kehadiran dua ekor singa sebelum ia mengiringi masuk mempelai naik ke pelamin.

Majlis persandingan mereka turut meriah dengan kehadiran Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, malah mendapat liputan meluas di beberapa akhbar berbahasa Cina.

Semangat 1Malaysia

Sementara itu, Dhamirah Atiqah berkata, tarikh pernikahan tersebut juga amat istimewa buatnya kerana diadakan sempena sambutan ulang tahun kelahirannya.

“Saya dan suami gembira kerana ia menjadi kenyataan, sekali gus melambangkan semangat 1Malaysia penduduk berbilang kaum di kampung ini.

“Kelainan yang kami ditampilkan ini membuatkan jemputan yang datang berebut-rebut mahu melihat dan merakamkan tarian singa pada majlis perkahwinan masyarakat Melayu yang jarang sekali mengadakan persembahan tersebut.

“Adik-beradik yang lain pun tidak membantah dengan idea itu kerana ia belum pernah dilakukan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Tan Boon Siang, 35, berkata, dia berasa bertuah kerana  persembahan berkenaan mendapat sambutan masyarakat Melayu pada majlis perkahwinan itu.

“Tarian singa adalah sejenis persembahan kebudayaan dan ia sudah menjadi budaya orang Asia berketurunan Cina dan dimainkan di negara China, Jepun, Taiwan, Korea, Thailand, Vietnam, Indonesia, Singapura dan Malaysia.

“Berdasarkan kepercayaan kaum Cina, tarian singa bukan hanya sekadar untuk menghibur, sebaliknya dipercayai mampu membawa tuah pada masa akan datang

"Namun apa yang penting,  ia melambangkan semangat 1Malaysia yang semakin sebati dengan masyarakat hari ini,” katanya

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.