ALOR GAJAH - Tanaman pokok buah-buahan nadir perlu diperbanyakkan di negeri ini bagi mengelak spesies itu dipinggirkan, sekali gus kepupusan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, ia wajar diberikan perhatian bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar memandangkan sesetengah pokok serta buah-buahan nadir boleh didapati di kawasan atau negeri tertentu sahaja.

Menurutnya, spesies pokok tersebut hanya tumbuh meliar di kawasan hutan dan usaha perlu dilakukan bagi memastikan ia dapat dilihat generasi akan datang.

“Kerajaan negeri juga sedar aktiviti penanaman pokok buah-buahan nadir penting kerana ia dah mula mengalami kepupusan. Langkah ini berupaya memastikan sumber genetik buah-buahan itu terus terpelihara dan boleh digunakan untuk penyelidikan, pembiakan atau bahan rujukan kepada generasi akan datang.

“Melaka juga tak mahu ketinggalan dalam sertai masyarakat dunia melaksanakan program yang boleh memberi fokus dan penyelesaian kepada isu perubahan iklim.

“Kini tiba masanya untuk kita meletakkan kepentingan alam sekitar sebagai agenda utama dalam kehidupan dan aktiviti seharian,” katanya  ketika merasmikan program Penanaman Pokok sempena Sidang Kemuncak Urban Environmental Accorda (UEA) Melaka 2017 di Taman Rekreasi Kampung Empang Batu Durian Daun, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Presiden Institut Arkitek Landskap, Prof Dr Osman Mohd Tahir; Pengarah Landskap Melaka, Sapiah Haron dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ismail Othman.

Idris berkata, penanaman pokok nadir bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai negeri teknologi hijau.

“Saya percaya melalui penanaman pokok ini, selain memastikan ia tidak pupus, dapat membantu mengurangkan kesan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.