SEREMBAN - Menaikkan jumlah bayaran saguhati yang diberi kepada sukarelawan program Khidmat Bantu Di Rumah (Home Help Services) dilihat dapat menarik minat lebih ramai golongan belia menyertainya.

Exco Hal Ehwal, Keluarga dan Kebajikan Wanita, Nicole Tan Lee Koon berkata, program di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diperkenal sejak 2012 itu sangat baik, namun kurang mendapat sambutan.

Menurutnya, justeru beliau berjumpa dengan pegawai Timbalan Perdana Menteri bagi menyatakan cadangan untuk memperkasakan lagi program berkenaan.

“Antara cadangan saya ialah minta kerajaan naikkan jumlah duit sagu hati yang diterima sukarelawan selain memperbanyakkan lagi aktiviti dan memberi pendedahan kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Saya percaya dengan perubahan itu dapat menarik lebih ramai sukarelawan dalam kalangan belia untuk menyertainya,” katanya selepas melakukan lawatan di Pusat Aktiviti Warga Emas yang turut dihadiri Pengarah JKM negeri, Mohamad Hapil di Kampung Baru Sikamat, di sini, kelmarin.  

Program Khidmat Bantu Di Rumah adalah program khidmat sokongan sosial kepada warga emas yang daif dan tinggal bersendirian termasuk orang kurang upaya (OKU).

Sukarelawan akan mengunjungi golongan berkenaan empat kali sebulan sebagai peneman bicara selain bantu menjaga keperluan bersesuaian.

Sementara itu, Mohamad berkata, terdapat 52 sukarelawan bagi program itu dengan jumlah warga emas dan OKU seramai 191 orang di negeri ini.

“Sukarelawan ini diberi sagu hati RM75 sebulan dengan penjagaan minima dua orang peserta dan buat masa ini, kita masih perlukan 18 sukarelawan,” katanya.