SEREMABAN - Kerajaan Negeri Sembilan tidak perlu terburu-buru melaksanakan janji yang terkandung dalam manifesto PRU14 lalu kerana tawaran dibuat tidak tertakluk pada tempoh 100 hari.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, tawaran tersebut hanya akan ditunaikan bermula 2019 sehingga tamat tempoh pemerintahan.

“Janji dalam manifesto PH Negeri Sembilan bukan­lah satu perkara yang membebankan kerana kesemuanya akan dilaksanakan bermula pada tahun hadapan.

“Bagi memastikan kesemua tawaran dibuat dapat dicapai, kerajaan negeri memasukkan peruntukkan melalui Bajet 2019 yang dijangka dibentangkan di sidang Dun akhir tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pengumuman itu sudah pasti akan menjadi berita gembira yang ditunggu-tunggu rakyat.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sembilan tidak dapat melaksanakan janji PRU14 dengan segera kerana kira-kira 85 peratus peruntukan 2018 dibelanjakan pentadbiran terdahulu.

Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan negeri akan menunaikan mana-mana janji yang boleh dilaksanakan dengan segera.

“Terdapat beberapa janji telah pun ditunaikan antaranya membuat pengisytiharan harta kepada umum, memberi insentif kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran serta tidak menaikkan cukai tanah dan cukai pintu.

“Selain itu, kerajaan neg­ri turut meluluskan peruntukan RM500,000 bagi memperkasakan lagi Institusi Hal Ehwal Adat Perpatih,” katanya.

Aminuddin berkata, banyak lagi sebenarnya perancangan lain yang sudah disusun contohnya mewujudkan taska di tempat kerja, bantuan bekalan makanan berterusan (Food Bank), kajian pembangunan bagi golongan belia dan bantuan kebajikan tambang bas sekolah untuk pelajar.