SEREMBAN – Semangat patriotisme yang tinggi bagi meraikan bulan kemerdekaan membuatkan seorang warga emas di Rumah Rakyat Panchor di sini, tidak lokek menempah sepersalinan lengkap baju bendera sejak 17 tahun lalu.

Malah Jamaluddin Malek, 65, sanggup menempuh perjalanan sejauh lebih 300 kilometer menunggang motosikal Honda EX5 miliknya semata-mata mahu menyambut hari kemerdekaan di tiga negeri iaitu Seremban, Melaka dan Johor Bahru.

“Pada 31 Ogos seawal jam 3.30 pagi saya dengan penuh bangga keluar rumah memakai baju bendera dan menunggang motosikal dari Seremban menuju ke Melaka dan Johor Bahru.

“Saya nak orang nampak sayalah rakyat Malaysia yang sangat berbangga dengan kemerdekaan yang dimiliki dan masih mampu dipertahankan sehingga kini hasil keringat perjuangan para pejuang terdahulu,”katanya.

Menurutnya, dia akan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM150 untuk menempah baju bendera berserta ‘ketayap’ yang hanya mengambil masa kurang dari seminggu untuk disiapkan.

Namun Jamaluddin mengakui ada yang memandangnya pelik kerana memakai baju bendera lebih-lebih lagi dengan usianya yang sudah tua.

“Apa nak dimalukan bila pakai baju bendera negara kita sendiri?. Lagipun ini sajalah yang dapat saya buat sebagai tanda saya bangga dengan hari merdeka negara kita.

“Tapi ramai juga yang nak bergambar dengan saya dan ada yang bertanya di mana saya tempah baju. Bila macam ini seronok juga dan dari situ saya dapat sampaikan mesej kemerdekaan,” katanya.

Dia yang bekerja di Pusat Khidmat Adun Ampangan berkata, lima anaknya juga tidak pernah berasa malu dengan minatnya itu dan turut memberikan sokongan.

Ketika ditanya pemberita tentang erti kemerdekaan buat dirinya, Jamaluddin berkata, tiada lain melainkan keamanan dan kesejahteraan yang dimiliki  dapat dipertahankan selain rakyat sentiasa bersatu hati tanpa mengira kaum.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.