BAHAU - Majlis Daerah Jempol (MDJL) akan melakukan proses pemutihan di pusat penjaja Bahau di sini, jika terdapat peniaga yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

Ahli Majlis, Chong Fui Ming berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi memberi laluan kepada peniaga yang benar-benar mahu berniaga.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah peniaga memberi sewa kepada peniaga lain di gerai yang diusahakannya. Kita terpaksa ambil tindakan tegas supaya kemudahan yang diberikan tidak sewenangnya di salah guna.

“Baru-baru ini kita telah jalankan satu sesi temu duga melibatkan 99 penjaja sedia ada yang bakal ditempatkan di pusat penjaja Bahau.

“Tujuan utama sesi temu duga adalah untuk memastikan beberapa perkara bagi memudahkan proses penyusunan gerai serta kenal pasti penjaja yang betul-betul hendak  berniaga,” katanya semalam.

Fui Ming berkata, antara soalan yang ditanya semasa sesi temu duga adalah jenis perniagaan yang dijalankan, waktu operasi dan memberi amaran tegas untuk membendung masalah sewa atas sewa.

“Sesiapa saja peniaga yang didapati melakukan kesalahan itu (sewa atas sewa) MDJL tiada kompromi, gerai akan ditarik terus, dan kita akan beri laluan kepada peniaga lain.

“Bagaimanapun, pada sesi temu duga yang lalu, didapati seorang peniaga telah melakukan sewa atas sewa melalui gerainya dan kita telah menarik kemudahan sewa peniaga berkenaan di pusat penjaja Bahau,” katanya.

Jelas beliau, ketika ini terdapat sekitar 112 gerai yang membabitkan perniagaan makanan, minuman, jualan pakaian, salon, runcit dan pejabat.

“Manakala pada masa terdekat ini kita akan jalankan cabut undi bagi menentukan kedudukan gerai peniaga terlibat, kemudian mana-mana gerai kosong akan dibuka kepada peniaga lain selepas selesai proses ini.

“Namun jika ada peniaga yang musykil dan kurang faham akan proses ini diminta tampil ke pejabat MDJL terus supaya penerangan lebih lanjut dapat dikemukakan, ia bagi mengelakkan sebarang salah faham,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MDJL, Zazali Sallehudin ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut.

“Kita akan timbang semula hal berkenaan khususnya memberi laluan kepada peniaga yang betul berniaga sendiri atau ringkasnya proses pemutihan. Kita tak mahu ada individu yang ambil kesempatan seumpamanya sehingga menimbul perspektif negatif terhadap MDJL,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA KINABALU - Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, garis panduan penyewaan premis sebagai tempat penginapan pelancong khususnya di kawasan bandar masih diteliti Peguam Besar Negeri.
  • KUALA TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diberi pengecualian bayaran sewa dua blok bangunan asrama Taman Ilmu di Tembila, Besut selama 10 tahun dengan syarat menanggung kos untuk membaik pulih dan pembaikan dua buah asrama itu.
  • KUANTAN - Pembangkang di negeri ini mendakwa bayaran RM680,000 sebulan bagi menyewa Menara CDO Resources Sdn Bhd untuk dijadikan ibu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada pemilik bangunan itu disifatkan satu pembaziran.
  • KUALA NERANG - Seorang ibu tunggal dari Kampung Keda Bukit Ular di sini merayu agar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dapat membina semula rumahnya yang terbakar pada September tahun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.