SHAH ALAM – Bagaikan babak filem aksi sekumpulan suspek berbalas tembakan dengan anggota polis dalam insiden kejar-mengejar di Subang Perdana awal pagi, semalam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki berusia antara 26 dan 27 tahun itu berjaya dicekup selepas kenderaan dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kereta jenis Toyota Hilux di Taman Sentosa Klang.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, tiga suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva melalui Jalan Subang menuju ke Sungai Buloh.

Menurutnya, suspek melepaskan empat das tembakan ke arah kereta dipandu polis ketika anggota mengejar kereta berkenaan.

Kenderaan suspek kemudian berlanggar dengan sebuah kereta pacuan empat roda sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan.

Suspek katanya keluar dari kereta dan melarikan diri bagaimanapun dua daripada mereka berjaya ditahan di lokasi berasingan.

Seorang berjaya ditahan di Jalan Datuk Dagang 19 manakala seorang lagi ditahan ketika bersembunyi di dalam longkang berdekatan Jalan Datuk Abdul Hamid.

“Suspek kedua ditahan dan sepucuk pistol jenis Smith & Wesson serta beberapa butir peluru hidup turut dirampas daripada mereka.

“Pada jam 9.15 pagi tadi polis berjaya menahan seorang lagi suspek di kebun kelapa sawit di Bandar Puteri Klang. Kesemua mereka direman sehingga hari ini,” katanya.
Seorang daripadanya mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.

Siasatan mendapati pistol dirampas pernah dilaporkan hilang oleh seorang ahli perniagaan pada 13 Ogos lalu di Taman Eng Ann, Pekan Baru Klang.

Dalam kes itu, mangsa kerugian wang tunai sebanyak RM3,250 dan suspek menetak tangan ketika kejadian berlaku.

Thaiveegan berkata, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti sama ada ketiga-tiga suspek terlibat gangsterism dan jenayah lain.

Siasatan dilakukan di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KENINGAU - Sekurang-kurangnya 10 rumah di Kampung Pampang runtuh dan dihanyutkan banjir kilat yang melanda daerah ini mulai tengah hari tadi akibat limpahan air dari Sungai Pampang.
  • PUTRAJAYA - Pengamal media menyahut cabaran membuktikan kemampuan fizikal melepasi laluan berhalangan dalam program Mr Challenge 2017 yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
  • KUCHING - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang menjadi tunjang BN Sarawak, tidak akan mencalonkan Adun untuk bertanding kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU14 akan datang.
  • BALIK PULAU - Kira-kira 200 kanak-kanak dari kawasan Parlimen Balik Pulau hari ini ceria apabila menerima sumbangan kelengkapan pakaian sekolah menjelang sesi persekolahan 2018 yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi.
  • KUCHING - Kebanyakan mesyuarat perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyaksikan ramai perwakilan, khususnya dalam kalangan belia, menyuarakan minat dan sokongan terhadap usaha Sarawak memajukan negeri menerusi ekonomi digital.